Jumaat, 17 April 2020 | 5:12pm
Gambar hiasan: Bilik pameran jualan kenderaan.
Gambar hiasan: Bilik pameran jualan kenderaan.

Kelulusan pinjaman bank perlahan - Persatuan Vendor

KUALA LUMPUR: Tindakan institusi perbankan yang mengambil masa lama untuk meluluskan pinjaman berjumlah RM1 juta memberi kesan kepada ahli Persatuan Vendor Proton (PVA).

Presidennya, Datuk Dr Wan Mohamed Wan Embong, berkata berdasarkan maklum balas yang diterima PVA, kelewatan disebabkan pihak perbankan masih menggunakan cara pemprosesan konvensional sehingga lambat memberi kelulusan itu menjejaskan operasi vendor.

Justeru, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengkaji semula proses kelulusan.

“Dalam keadaan mencabar ini, institusi kewangan perlu melihat kepentingan perniagaan berbanding cara pemprosesan permohonan pinjaman secara konvensional.

“Ikrar untuk menyokong perniagaan tiada makna jika ia tidak sampai kepada pihak memerlukan pada masa yang sesuai kerana ia akan menjejaskan rantaian bekalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Mohamed berkata, kebanyakan vendor sudah kehabisan rizab kewangan memandangkan gaji dan upah pekerja perlu dilangsaikan.

“Sehingga pinjaman disalurkan, kebanyakan mereka perlu menggunakan simpanan kewangan sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, keputusan kerajaan membenarkan beberapa sektor kritikal beroperasi secara berperingkat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 dapat membantu memulakan ekonomi negara.

Katanya, langkah Kementerian Antarabangsa dan Industri (MITI) melonggarkan PKP dengan membenarkan pekerja penting dalam sektor automotif mengembalikan sesuatu yang normal dalam industri itu.

“Walaupun kami ingin meneruskan operasi, namun keinginan untuk memutuskan rantaian COVID-19 lebih besar lagi.

“Kami akan mematuhi garis panduan keselamatan ketat yang ditetapkan MITI,” katanya.

Wan Mohamed berkata, walaupun dengan Pakej Rangsangan yang diumumkan kerajaan, pemulihan ekonomi dilihat akan mengambil masa yang panjang dan perlahan.

“Sebarang lanjutan PKP, ia akan memberi tekanan kepada kebanyakan perniagaan. Kami akan melihat apa yang perlu supaya vendor tidak tersasar.

“Semakin lama ia tidak beroperasi, maka semakin terus kesannya,” katanya.

Ketika ini, industri automotif menjadi antara sektor kritikal dengan menyumbang 4.5 hingga 5.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Sektor itu menyediakan kesan pengganda dengan impak langsung dan tidak langsung kepada kira-kira 750,000 pekerja.

Berita Harian X