Selasa, 31 March 2020 | 8:34pm
Pasukan Isuzu Malaysia bergambar sebelum Isuzu D-Max Single Cab meneruskan cabaran D-Max 1.9 Blue Power Dura Challenge.
Pasukan Isuzu Malaysia bergambar sebelum Isuzu D-Max Single Cab meneruskan cabaran D-Max 1.9 Blue Power Dura Challenge.

Isuzu D-Max 1.9L bukti kemampuan

ISUZU D-Max 1.9 liter berjaya membuktikan kemampuan jenteranya apabila berjaya menamatkan cabaran 1,000 kilometer (km) merentasi laluan Banjaran Titiwangsa dengan beban maksimum.

Dengan pencapaian penggunaan bahan api terbaik yang pernah ditunjukkan sebelum ini dalam Dura Miles Challenge, jentera keluaran Isuzu itu berjaya melalui satu lagi cabaran ekstrim.

Dalam cabaran itu, D-Max 1.9 liter Single Cab dimuatkan beban maksimum sehingga satu tan yang boleh ditampungnya sebelum dipandu melalui kawasan tanah tinggi Banjaran Titiwangsa dengan catatan jumlah jarak perjalanan melebihi 1,000 km di dalam cabaran: D-Max 1.9 Blue Power Dura Challenge.

Lebih mengagumkan semua itu dicapai dengan dua takuk bahan api yang masih berbaki di dalam tangki pada akhir cabaran ini.

Kemampuan penjimatan Isuzu D-Max terus berada pada tahap membanggakan meskipun ia sebuah trak pikap dengan kapasiti enjin yang paling kecil dalam pasaran ketika ini.

“Isuzu D-Max 1.9 Blue Power menyelesaikan cabaran berkenaan dengan mudah, sekali gus mampu menggalas apa jua tugasan yang diberikan kepadanya,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

Sebelum memulakan perjalanannya dari kilang Isuzu-Hicom Malaysia di Pekan, Pahang, pemeriksaan menyeluruh dilakukan terhadap Isuzu D-Max 1.9 liter Single Cab oleh PUSPAKOM bagi mengesahkan bahawa ia unit standard yang sama di bilik pameran serta bagi mendapatkan pengesahan terhadap jumlah beban yang dibawa, melebihi 1,000 kilogram (kg).

Lebih berkuasa

Dengan bahagian muatan, bonet serta tangki minyak ditutup dan disah dilekapkan, Isuzu D-Max 1.9 liter single cab menuju ke Utara untuk cabarannya yang pertama melalui Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Jeli di Kelantan dengan Grik di Perak dengan laluan mendaki dengan ketinggian 1,052 meter sebelum ke Ipoh untuk menamatkan cabaran hari pertamanya.

Keesokan harinya, cabaran yang terpaksa dilalui lebih sukar apabila unit kabin tunggal berkenaan dikehendaki mendaki ketinggian 1,112 meter ke Tanah Rata di Cameron Highlands sebelum melanjutkan perjalanan ke Fraser's Hill (1,222 meter) melalui Raub.

Seterusnya, cabaran perjalanannya lebih getir; merentasi laluan mendaki ketinggian 1,604 meter menuju Genting Highlands sebelum menamatkan perjalanan di Pusat Servis Isuzu di Shah Alam dan merekodkan jarak perjalanan 1,145 km keseluruhannya.

Dengan purata penggunaan bahan api 7.2l/100 km (13.7 km/l) berdasarkan bacaan pada meter dalamannya, D-Max 1.9 liter Single Cab tiba di lokasi akhirnya dengan bahan api yang masih banyak di dalam kapasiti tangki 76 liter yang ada padanya.

“Melalui teknologi maju, unit enjin 1.9 liter RZ4E-TC yang digunakan ialah yang paling cekap pernah dihasilkan oleh Isuzu Motors. Ini dibuktikan dengan jelas di dalam percubaan yang dilakukan ini.

“Memang ada kenderaan lain boleh menjelajah jarak yang jauh dengan hanya satu tangki bahan api, sesetengah yang lain pula boleh membawa beban satu tan serta melalui jalan mendaki di pergunungan. Tetapi, untuk sebuah kenderaan mampu melakukan ketiga-tiganya sekali dengan cemerlang, ia sesuatu yang menakjubkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.

Dikuasakan oleh enjin 1.9 liter Blue Power diesel terkini yang menghasilkan lebih kuasa dan tork berbanding model dengan enjin 2.5 liter sebelum ini, Isuzu D-Max Single Cab memaksimumkan prestasinya melalui inovasi teknologi termasuk pada rekaan kebuk pembakaran dan intake manifold, sistem suntikan minyak baru yang menjadikan bahan api disemburkan dengan lebih tepat dan optimum serta pengecas turbo Variable Geometry (VGS) yang menjadikan enjin lebih responsif dalam julat yang lebih luas.

Berita Harian X