Sabtu, 7 March 2020 | 2:32pm
Pengurus Besar Didi Resources, CW Juan (tengah) bersama kakitangannya di jualan gudang motosiakl dan aksesori Big Bike Warehousre Clearance, Gasket Alley, Petaling Jaya.
Pengurus Besar Didi Resources, CW Juan (tengah) bersama kakitangannya di jualan gudang motosiakl dan aksesori Big Bike Warehousre Clearance, Gasket Alley, Petaling Jaya.

Big Bikes Warehouse rancakkan industri dua roda

PETALING JAYA: Didi Resources Sdn Bhd (Didi Resources) menawarkan ruang percuma kepada jenama motosikal dan aksesori serta peniaga produk berkaitan untuk mempamerkan barisan produk masing-masing di gudang jualannya yang dikenali sebagai Big Bikes Warehouse.

Pengurus Besar Didi Resources, CW Juan, berkata inisiatif yang disasar untuk merancakkan lagi industri dua roda tempatan itu adalah untuk membuka peluang kerjasama jenama motosikal terkemuka dan aksesori serta meningkatkan akses pelanggan kepada produk di bawah satu bumbung.

“Big Bikes Warehouse menggabungkan tujuh jenama motosikal dan lebih 10 jenama aksesori untuk mempamerkan produk mereka di bawah satu bumbung.

“Didi Resources menyediakan ruang percuma berkeluasan 11,000 kaki persegi di Warehouse 15, The Gasket Alley bermula hari ini hingga Ahad untuk peserta pasaran dua roda menawarkan produk pada harga sangat menarik,” katanya.

Didi Resources adalah pengedar rasmi jenama Moto Guzzi, Aprilia, Harley-Davidson dan Vespa.

Selain jenama bawah edaran Didi Resources, jenama motosikal lain terbabit termasuk Kawasaki, Modenas dan Ducati yang mempamerkan kira-kira 80 model motosikal untuk dijual pada harga menarik.

Semua harga motosikal bermula dari RM9,000 hingga lebih RM100,000.

Bagi aksesori pula, GIVI dan beberapa jenama topi keledar termasuk ARC, KYT, HJC, Bell dan Shoei turut serta dalam acara buat pertama kali dianjurkan itu.

Juan berkata, melihat kepada sambutan rakan jenama motosikal terkemuka dalam Big Bikes Warehouse, Didi Resources bercadang untuk mengadakan acara sama di beberapa bandar besar termasuk di Pulau Pinang dan Johor Bahru pada masa depan.

“Kita bagi ruang niaga percuma, tetapi sebagai balasan, peserta yang terbabit perlu menawarkan harga paling berpatutan dan lebih rendah berbanding harga pasaran kepada pelanggan yang berkunjung ke acara ini.

“Selain itu, semua motosikal dan aksesori yang ditawarkan pada Big Bikes Warehouse adalah stok baharu dengan jaminan kilang,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X