KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menyasar nilai eksport automotif akan melonjak kepada RM17.2 bilion tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari, berkata sasaran yang lebih tinggi berbanding RM15.45 bilion tahun lalu akan disumbangkan oleh eksport bahagian dan komponen berjumlah RM15 bilion.
Selebihnya adalah daripada eksport kenderaan import sepenuhnya (CBU) iaitu sebanyak RM1.5 bilion dan portfolio pengeluaran semula bernilai RM1 bilion.
“MARii menjangkakan jumlah pengeluaran keseluruhan (TPV) meningkat kepada 577,348 unit tahun ini, berbanding 571,632 unit pada 2019, manakala jumlah jualan keseluruhan (TIV) juga menokok kepada 610,330 unit daripada 604,287 unit tahun sebelumnya,” katanya ketika menyampaikan taklimat prestasi automotif 2019 dan prospek 2020 di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Norazman Ayob.
Madani turut menjelaskan, MARii menjangkakan pelaburan dalam sektor automotif berjumlah RM1.43 bilion dengan RM1 bilion akan disumbangkan oleh portfolio mobiliti sebagai perkhidmatan (MaaS) seperti yang ditekankan dalam Dasar Automotif Negara 2020 (NAP 2020).
“Pelaburan berjumlah RM3.49 bilion diluluskan tahun lalu hingga 2023,” katanya.