Selasa, 3 March 2020 | 4:03pm
HONDA BR-V baharu dibuka tempahan di semua pengedar seluruh Malaysia
HONDA BR-V baharu dibuka tempahan di semua pengedar seluruh Malaysia

Tempahan Honda BR-V baharu dibuka

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia membuka tempahan untuk model crossover tujuh tempat duduk BR-V baharu dengan penampilan lebih segar dan ciri-ciri tambahan, di semua 100 pengedar seluruh negara.

BR-V atau Bold Runabout Vehicle yang mula diperkenalkan di Malaysia pada 2017, dijangka dilancarkan pada suku pertama ini.

Menggabungkan reka bentuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan versatiliti mengagumkan, BR-V adalah crossover untuk semua kegunaan, menjadi salah satu kereta paling diminati dalam pasaran, khususnya pengguna berkeluarga.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, berkata BR-V dibangunkan eksklusif oleh Honda R&D Asia Pacific Co Ltd (HRAP) untuk pasaran ASEAN, malah model pertama HRAP di Malaysia.

Beliau berkata, BR-V dijangka memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat bagi kereta tujuh tempat duduk yang luas serta versatil pada masa sama.

Katanya, sejak dilancarkan pada 2017, kira-kira 36,000 BR-V dijual di negara ini setakat Januari 2020, yang mana ualan menggalakkan ini diterjemahkan kepada 45 peratus penguasaan pasaran pada 2019, sekali gus membantu BR-V mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran.

“Untuk terus menawarkan produk berkualiti tinggi dan memenuhi jangkaan pengguna, Honda Malaysia membuat kajian pasaran dan mengumpulkan maklum balas pengguna yang membolehkan kami memahami pelanggan dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Luaran BR-V baharu dinaik taraf dengan penampilan lebih segar dan bergaya, sambil mengekalkan ciri-cirinya yang berani serta menarik.

Reka bentuk hadapannya menampilkan bampar hadapan yang ditambah baik, ditambah dengan gril hadapan, kemasan bampar lebih rendah dan kemasan lampu kabus hadapan lebih baharu.

BR-V terkini juga didatangkan dengan kemasan bampar belakang lebih rendah, antena sirip dan reka bentuk roda aloi 16 inci baharu.

Menambah ciri-ciri baharu, pengguna juga menikmati keselesaan menyeluruh dengan Butang Tekan Mula dan Kemasukan Tanpa Kunci, yang kini menjadi ciri-ciri standard untuk semua varian.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X