Isnin, 24 Februari 2020 | 4:43pm

PROTON, Perodua terima manfaat besar NAP 2020

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bakal menjadi penerima manfaat utama di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 yang menyasar untuk meningkatkan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) dan eksport.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), Daniel Wong, berkata NAP 2020 bertujuan menjadikan Malaysia menjadi peneraju serantau dalam industri automotif.

Beliau berkata, dasar itu juga menyasarkan peningkatan TIV kepada 1.22 juta unit dan eksport kepada 250,000 unit menjelang 2030.

Justeru, katanya pelaburan baharu oleh PROTON di barisan pengeluarannya dekat Tanjung Malim serta barisan model baharu adalah selaras dengan visi NAP 2020.

Malah, beliau berkata erajaan menyokong usaha PROTON dalam pembangunan produk dan teknologi baharu.

“Pertumbuhan jualan PROTON yang kukuh sebanyak 54.7 peratus tahun ke tahun pada 2019 menandakan keyakinan pasaran yang bertambah baik kepada model barunya dengan teknologi yang lebih baik (termasuk ciri keselamatan), kualiti dan reka bentuk.

“PROTON juga meneroka peluang eksport (seperti yang disasarkan oleh NAP 2020) dengan barisan produk baharunya. Tidak seperti syarikat lain, PROTON adalah satu-satunya yang tidak mempunyai kehadiran sama ada kemudahan pembuatan tempatan atau hab serantau di negara lain.

“Oleh itu, PROTON mempunyai potensi pertumbuhan eksport yang kuat. Ia juga menyasarkan menjadi pengeluar peralatan tulen (OEM) ketiga terbesar di Asia Tenggara menjelang 2027,” katanya.

Bagi Perodua pula, Wong berkata syarikat itu berusaha memperbaiki keupayaan dalam pembangunan automotif dengan sokongan Toyota dan Daihatsu.

“Perodua dijangka mengekalkan pasaran domestiknya, sementara meneroka peluang eksport dengan pembangunan kereta domestik baharu,” katanya.

Sementara itu, AmInvestment Bank Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata, kereta nasional baharu berkemungkinan besar adalah sedan segmen B atau C.

“Prototaip model pertama yang sudah siap itu dijangka akan dilancarkan pada Mac 2020 dengan model rasmi pertama dijangka berada di pasaran pada Mac 2021.

“Sekiranya ia menjadi kenderaan segmen C, kita fikir ia tidak boleh dibeli untuk pasaran massa tetapi untuk pasaran khusus. Dengan itu, kami tidak merasakan kereta nasional baru menjadi ancaman kepada PROTON dan Perodua,” katanya.

Berita Harian X