Ahad, 23 Februari 2020 | 4:41pm
Kementerian Kewangan.
Kementerian Kewangan.

Kenaikan harga kereta Honda tidak babitkan situasi semasa industri

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan kenaikan harga kereta jenama Honda tidak membabitkan situasi semasa industri automotif negara.

Dalam satu kenyataan, MOF menegaskan bahawa tiada perubahan terhadap dasar pengecualian duti eksais atau insentif tersuai di bawah Industrial Linkage Programme (ILP) dan perkara itu hanya membabitkan Honda Malaysia dan tidak menjejaskan keseluruhan industri automotif tempatan.

“Kerajaan sentiasa memastikan dasar percukaian ke atas industri pengeluaran kenderaan pemasangan tempatan (CKD) tidak akan merencatkan perkembangan perniagaan dan meningkatkan harga pasaran kenderaan CKD.

“Rakyat akan sentiasa mendapat manfaat langsung daripada insentif cukai yang dinikmati oleh pengeluar kenderaan CKD melalui harga jualan yang kompetitif serta manfaat tidak langsung melalui peluang ekonomi yang wujud, selaras dengan hasrat di bawah Dasar Automotif negara 2020 (NAP 2020),” katanya.

MOF berkata, Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif (ABDC) selaku pihak yang menilai dan mengesyorkan kelulusan insentif syarikat masih menggunapakai kaedah penilaian yang sama tanpa sebarang perubahan.

Sekurang-kurangnya 22 orang maut apabila sebuah lori tangkai bertembung dengan dua bas serta beberapa kenderaan lain semalam, di laluan yang menghubungkan ibu negara Syria dan wilayah Hom. - Foto tellerreport.com
Sekurang-kurangnya 22 orang maut apabila sebuah lori tangkai bertembung dengan dua bas serta beberapa kenderaan lain semalam, di laluan yang menghubungkan ibu negara Syria dan wilayah Hom. - Foto tellerreport.com

Justeru, katanya, kadar pengecualian duti eksais yang dinikmati Honda pada masa ini adalah wajar dan sepadan dengan tahap lokalisasi sebenar yang dicapai syarikat berkenaan.

“Adalah perlu syarikat mematuhi semakan audit dan menurut dasar serta insentif pengecualian duti/cukai yang sedia ada supaya tidak menimbulkan persoalan dan ia bertindak adil kepada semua syarikat yang menurut asas yang sama dan kriteria yang betul,” katanya.

Jumaat lalu, Honda Malaysia dalam satu kenyataan mengumumkan kenaikan harga beberapa keretanya antara lima hingga sembilan peratus, bergantung kepada model dan varian, berkuatkuasa serta merta.

Ia membabitkan tiga model iaitu Jazz, City dan CR-V.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, kenaikan harga bagi kereta Honda terpilih itu susulan semakan semula ke atas insentif tersuai kereta CKD.

Berdasarkan pelarasan harga baharu itu, model CR-V varian 2.0 2WD Standard menyaksikan kenaikan tertinggi sebanyak 9.25 peratus di Semenanjung Malaysia, dengan harga terbaharunya kini adalah RM151,100.

Sementara itu, kenaikan paling kecil menyaksikan harga baharu model City varian V meningkat 5.3 peratus.

Berita Harian X