Selasa, 21 Januari 2020 | 5:19pm

Perubahan OMV sebabkan harga kereta CKD meningkat

KUALA LUMPUR: Harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) berpotensi meningkat disebabkan berlakunya perubahan dalam nilai pasaran terbuka (OMV) kenderaan, yang memberi kesan kepada duti eksais.

OMV yang ditetapkan oleh industri adalah nilai pasaran akhir sesebuah kenderaan CKD, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais.

Penganalisis AmInvestment Bank, Jeremie Yap Jake Hui, berkata pengiraan OMV baharu bagi model CKD adalah merangkumi yuran royalti, yuran margin pengedar dan caj pemasangan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih tidak dapat memastikan mengenai kuantum dan pembolehubah lain yang terbabit kerana tiada maklumat rasmi boleh didapati ketika ini.

“Terdapat berita terkini tentang kemungkinan penstrukturan semula duti eksais yang boleh memberi impak kepada harga kenderaan.

“Namun, masih belum pasti bagaimana duti eksais akan disusun semula. Harga kereta CKD berpotensi meningkat tahun ini disebabkan oleh peraturan cukai eksais baharu kerajaan yang telah diwartakan pada 31 Disember lalu.

“Duti eksais semasa berbeza mengikut kenderaan dari 60 peratus hingga 105 peratus, bergantung kepada model kereta dan pengeluar,” katanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan baru-baru ini dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk mengkaji semula struktur duti sektor automotif.

Jake Hui berkata, perubahan OMV itu adalah sebahagian daripada sebab penangguhan penetapan harga model baharu CX-5 dan CX-8 oleh Bermaz Auto.

Katanya, sebahagian model dalam pasaran tertangguh selama tujuh bulan disebabkan kurangnya kejelasan dalam struktur cukai baharu bagi kenderaan pemasangan tempatan.

“Kami mengesan terdapat kenaikan harga kira-kira RM2,100 dalam semua barisan model Mazda CX-5 2019. Kami percaya ini disebabkan oleh pengiraan baharu OMV yang digazetkan.

“Ini diterjemahkan kepada kenaikan kira-kira dua peratus. Jika ini berlaku kepada semua jenama kereta utama dan model CKD masing-masing, kami percaya kos tambahan itu akan disalurkan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan dua peratus harga kereta CKD adalah sedikit negatif kepada sektor automotif, namun tidak akan memberikan impak besar kepada keputusan pembelian kereta dalam kalangan pengguna.

“Kami berharap kerajaan akan mengumumkan lebih lanjut maklumat dan memberi lebih penjelasan mengenai duti eksais dan OMV tidak lama lagi,” katanya.

Di sebalik situasi itu, AmInvestment Bank tetap mengekalkan pendirian neutral bagi sektor atitomotif dengan unjuran jualan keseluruhan industri (TIV) pada 2020 sebanyak 610,000 unit.

Berita Harian X