X
Isnin, 13 Januari 2020 | 6:19pm
HONDA CBR1000RR-R Fireblade SP.
HONDA CBR1000RR-R Fireblade SP.

Boon Siew Honda bawa masuk tiga model utama

BOON Siew Honda meneruskan usaha meningkatkan pengaruhnya dalam pasaran motosikal premium di Malaysia dengan memperkenalkan tiga model utamanya.

Menjadi pengeluar pertama, Boon Siew Honda membawa masuk Honda CBR1000RR-R Fireblade SP, GL1800 Gold Wing dan dua varian iaitu CRF1100L Africa Twin dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports.

CBR1000RR-R Fireblade SP ditawarkan dengan warna Grand Prix Red dijual pada harga disyorkan tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran RM198,800, manakala GL1800 Gold Wing dengan warna Pearl Glare White (RM208,800).

HONDA GL1800 Gold Wing.
HONDA GL1800 Gold Wing.

HONDA CRF1100L Africa Twin Adventure Sports.
HONDA CRF1100L Africa Twin Adventure Sports.

Bagi CRF1100L Africa Twin ia didatangkan dengan warna Grand Prix Red ditawarkan pada harga RM98,888, sementara peminat Honda boleh memilih CRF1100L Africa Twin Adventure Sports - Manual dengan tawaran harga RM111,888 dan pilihan DCT (RM117,888).

Kedua-dua pilihan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports didatangkan dengan satu warna pilihan iaitu Pearl Glare White Tricolor.

Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda, berkata pelancaran model utama Honda itu membuktikan tahap keyakinan syarikat kepada pasaran Malaysia, apabila menjadi pasaran pertama yang memperkenalkan model itu di Asia dan Oceania.

“Keputusan untuk memperkenalkan model baharu ini adalah untuk memperkukuhkan pengaruh produk motosikal berkuasa besar Honda,” katanya.

Bagi Honda CBR1000RR-R Fireblade SP, ia ditawarkan dengan enjin empat silinder sebaris yang menawarkan kuasa 159Kw pada 14,500 rpm dan tork puncak 112.7Nm pada 12,500rpm.

Lebih menarik, model ini hadir dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang membantu menguruskan tork dengan lancar dengan kawalan melebihi sembilan tahap.

Ia juga hadir dengan mod Start dan ‘quick shifter’; sebagai ciri standard dengan tiga mod tunggangan yang boleh diselaraskan kepada kawalan Power, Engine Brake dan Wheelie.

Menjadikan CBR1000RR-R Fireblade SP lebih premium adalah dwi-kaliper Brembo Stylema yang dikawal oleh sistem brek antikunci dengan pemilihan kod SPORT atau TRACK.

Bagi Honda GL1800 Gold Wing pula, model terkini ini hadir dengan suspensi yang dipertingkatkan dan kawalan kelajuan perlahan yang melengkapkan enjin enam silinder rata evokatif yang menyampaikan keunikan kuasa dan gaya kepada penunggang atau pembonceng.

Dengan fungsi Throttle By Wire (TBW) yang menambah kepada empat mod tunggangan iaitu Tour, Sport, Econ dan Rain, ia menghasilkan jentera untuk menempa pengalaman individu dalam pelbagai keadaan tunggangan.

Ciri Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan integrasi iPhone, Apple CarPlay sebagai standard juga menjadikan Honda GL1800 Gold Wing cukup istimewa dan mewah.

Model terakhir diperkenalkan adalah CRF1100L Africa Twin Adventure Sports yang didatangkan dengan dua pilihan iaitu Manual dan DCT.

Berkongsi bingkai, enjin dan kedudukan menunggang dengan CRF1100L Africa Twin, model ini tetap memiliki peranan tersendiri yang menawarkan keupayaan dan praktikaliti tunggangan jarak jauh.

Model ini memiliki tangki bahan api 24.85 liter yang menawarkan perjalanan melebihi 500 kilometer bersama pelindung angin bagi sisi fairing, skrin melaras ketinggian, pelindung enjin lebih besar dan pengecas ACC.

CRF1100L Africa Twin Adventure Sports dilengkapi Showa EERA sebagai standard bersama empat mod tunggangan iaitu SOFT, MID, HARD dan OFF-ROAD.

Berita Harian X