Khamis, 19 Disember 2019 | 6:09pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Jualan kenderaan November merosot

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan susut 2.4 peratus kepada 52,584 unit pada November daripada 53,870 unit pada Oktober.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam kenyataannya berkata, ia menjangkakan jualan bagi bulan ini adalah mendatar.

“Jualan November bagaimanapun 8.9 peratus lebih tinggi berbanding 48,282 unit dalam tempoh sama setahun lalu disebabkan oleh kempen promosi akhir tahun,” katanya.

Daripada 52,584 unit yang dijual bulan lalu, MAA berkata 47,754 adalah kereta penumpang manakala baki 4,830 adalah kenderaan komersial.

Pengeluaran bagi November merosot kepada 46,517 unit berbanding dengan 50,304 unit setahun lalu.

MAA berkata, jualan keseluruhan industri (TIV) bagi tempoh Januari hingga November tahun ini adalah mendatar iaitu 549,445 unit berbanding 550,410 unit dalam tempoh sama sebelumnya.

Bagi pengeluaran kenderaan dalam tempoh itu, ia meningkat kepada

528,333 unit berbanding 522,571 unit dalam tempoh sama sebelumnya.

Mengenai tinjauan jualan Disember, MAA menjangkakan jumlahnya kekal pada paras bulan lalu.

“Kempen promosi akhir tahun yang agresif berterusan khususnya oleh syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir 31 Disember,” kata MAA.

Berita Harian X