Rabu, 6 November 2019 | 4:10pm
McLaren Automotive melancarkan fasiliti 3S (jualan, servis dan alat ganti), McLaren Kuala Lumpur di Glenmarie, Kuala Lumpur. - Foto Amirul Hazmi

McLaren lancar fasiliti 3S

SHAH ALAM: McLaren Automotive, pengeluar kereta sport dan kereta mewah berprestasi tinggi British melancarkan fasiliti 3S (jualan, servis dan alat ganti), McLaren Kuala Lumpur di Glenmarie, Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan bagi Asia Pasifik dan China George Biggs berkata pusat 3S bernilai RM15 juta itu menawarkan perkhidmatan jualan, selepas jualan, aksesori selain perkhidmatan rangkaian lengkap model McLaren.

“Rekabentuk fasiliti jualan berukuran 420 meter persegi yang baru ini membolehkan pemilik dan peminat menyelami kehebatan jenama ikonik sukan permotoran dan automotif dunia, ” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran pusat 3S itu di sini, hari ini.

Pusat 3S itu adalah satu-satunya kemudahan runcit di Malaysia dan dikendalikan oleh McFarren Supercars Sdn Bhd.

Susulan majlis itu, McLaren turut melancarkan McLaren GT baharu, edisi terkini rangkaian model McLaren.

McLaren GT melengkapkan rangkaian terkini kereta sport dan kereta super McLaren yang ditawarkan di Malaysia termasuk 570S Coupé an Spider, 600LT Coupé and Spider dan 720S Coupé and Spider.

Biggs berkata, kewujudan pusat 3S itu akan meningkatkan jualan McLaren dan pada masa yang sama memberi jaminan bahawa pusat itu boleh menjaga kenderaan pelanggan.

“Ia (pusat 3S) memberi keyakinan tinggi kepada (pelanggan) memandangkan Malaysia kekal sebagai pasaran penting kami di Asia Pasifik.

“Saya amat positif mengenai pasaran Malaysia kerana kita mempunyai asas yang kukuh di sini, pangkalan pelanggan dan audiens yang benar-benar gembira dan menghargai kereta super sukan.

“Saya optimis kerana kami telah membuat pelaburan ini dan optimis mengenainya (pasaran Malaysia).Kami berhasrat melihat ia berkembang dan tidak sabar-sabar untuk mengetahui maklum balas pelanggan ke atas McLaren GT kerana (minat) sangat positif dan kukuh, jadi kita akan lihat,” katanya.

McLaren GT berharga RM908,000 sebelum cukai dan lain-lain.

Pada 2018, pelan perniagaan Track25 syarikat itu akan menyaksikan pelaburan 1.2 bilion Euro dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menyediakan 18 kereta baharu atau derivatif menjelang akhir 2025.

Semua McLaren dipasang secara manual di Pusat Pengeluaran McLaren di Woking, Surrey, England.

Dilancarkan pada 2010, syarikat itu adalah bahagian terbesar dalam Kumpulan McLaren dengan lebih 80 peruncit di lebih 30 pasaran di seluruh dunia. - BERNAMA

Berita Harian X