Selasa, 5 November 2019 | 5:36pm
ISUZU D-Max

Blue Monster tampil dalam Borneo Safari

KUALA LUMPUR: Walaupun baru sahaja dilancarkan untuk pasaran tempatan, Isuzu D-Max 1.9 liter tidak gentar untuk menggalas cabaran dan ujian getir di dalam acara off-road antara yang paling mencabar di Asia dikenali Borneo Safari yang berlangsung di Sabah baru-baru ini.

Sejak lebih sedekad lalu, Isuzu D-Max 2.5 liter dan 3.0 liter terbukti menjadi antara kenderaan terbaik dan berkeupayaan untuk mengangkut wakil media di sepanjang laluan berliku yang terbabit, walaupun sekadar diberikan modifikasi minimum.

Namun, tahun ini, Isuzu Malaysia menggunakan D-Max 1.9 liter untuk melihat keupayaannya dalam keadaan dan permukaan ekstrim.

Blue Monster terbaharu itu menampilkan penggunaan enjin 1.9 liter yang paling kecil dan canggih dalam kelasnya, tetapi dengan janaan kuasa yang lebih besar berbanding unit 2.5 liter terdahulu, serta 56 kilogram lebih ringan.

Melalui rekaan dan kejuruteraan inovatif, model baharu berkenaan dapat memberikan prestasi off-road lebih baik sebagaimana prestasi yang telah ditunjukkannya di atas jalan biasa.

Selain penggunaan jenis tayar untuk permukaan berlumpur, ia juga menggunakan suspensi lain untuk menyesuaikan penggunaan roda yang lebih besar, perlindungan badan heavy duty, sebuah winch dan corong udara khusus (snorkel).

Selebihnya, Blue Monster kekal dengan spesifikasi standard seperti mana yang dilihat pada unit-unit yang dipamer di bilik pameran.

Blue Monster diserahkan kepada pasukan penganjur Borneo Safari di Kota Kinabalu sebagai sebahagian daripada komitmen Isuzu selaku penaja utama acara itu yang menyediakan kenderaan untuk wakil media.

Tahun ini menyaksikan penganjuran kali ke-29 bagi Borneo Safari, dan ia adalah tahun ke-13 Isuzu bertindak selaku penaja utama.

Acara berkenaan bermula di Kota Kinabalu pada 27 Oktober dan menyusur laluan ke Beaufort, Tenom, Keningau dan Tambunan sebelum kembali ke pusat bandar pada 3 November 2019 untuk majlis penutup.

Berita Harian X