Ahad, 3 November 2019 | 2:17pm
Benelli Imperiale 400.

Benelli Imperiale 400 dilancar di Malaysia

SEPANG: Mforce Bike Holdings Sdn Bhd (Mforce Bike), pengedar sah motosikal berkuasa tinggi jenama Benelli melancarkan model klasik Imperiale 400 bagi pasaran Malaysia.

Imperiale 400, versi yang menafsirkan semula model klasik Benelli-MotoBi yang dikeluarkan di Itali sekitar 1950-an itu menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api dengan sistem penyejukan udara, yang dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan.

Pengurus Besar Mforce Bike, Asri Ahmad, berkata Imperiale 400 berkemampuan menghasilkan kuasa 20.8 hp pada 5,500 rpm dan 29 Nm tork pada 4,500 rpm.

Enjin itu juga mendapat penarafan emisi Euro 4.

Versi asas itu katanya, dijual pada harga RM15,888 seunit tidak termasuk insurans.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran media model itu bersempena minggu MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang.

Hadir sama, Pengurus Perancangan Produk MForce Bike, Omar Yani Othman.

Kuasa enjin Imperiale 400 yang disalurkan kepada roda belakang menggunakan sistem rantai, dan motosikal itu turut dilengkapi pemula enjin elektrik.

Rim yang digunakan pada Imperiale 400 ini adalah unit spoke dengan saiz 19 inci di hadapan bersama tayar 110/90 dan 18 inci di belakang dengan tayar 130/80.

Ia turut didatangkan dengan sistem ABS, dengan di bahagian hadapan mempunyai cakera 300 milimeter (mm) tunggal serta angkup dua piston terapung, manakala di belakang pula mempunyai cakera 240 mm serta angkup satu piston.

Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik dengan jarak gerak 121 mm, manakala di belakang terdapat dua penyerap dengan jarak gerak 55.5 mm.

Spesifikasi lain termasuk tangki bahan api 12 liter, berat 197 kilogram, jarak ketinggian daripada lantai 165 mm, pelapik getah di tepi tangki, serta cermin sisi dan ekzos krom.

Imperiale 400 ditawarkan dengan tiga pilihan warna, iaitu hitam, merah dan kelabu, dan akan mula dijual di negara ini mulai Februari tahun depan.

Jaminan adalah selama dua tahun atau 20,000 kilometer.

Selain mengedar, Mforce Bike juga memasang dan menawarkan perkhidmatan selepas jualan termasuk alat ganti bagi rangkaian produk Benelli di pasaran negara ini.

Berita Harian X