Isnin, 28 Oktober 2019 | 12:33pm
PLATFORM kereta elektrik yang disepadukan dengan sel bahan api hidrogen (Fuel Cell).

Malaysia bangun kereta elektrik 'kuasa air'

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi mengeluarkan prototaip kereta elektrik disepadukan dengan sel bahan api hidrogen (Fuel Cell), yang membolehkan air digunakan sebagai sumber kuasa alternatifnya menjelang akhir tahun ini.

Inisiatif perintis di bawah Program Kereta Lumba Elektrik Bersepadu Hidrogen (HyPER) itu kini dimajukan lima entiti tempatan iaitu NanoMalaysia Bhd, Handal Energy Solutions Sdn Bhd, Pulsar UAV Sdn Bhd (Pulsar), MNA Energy Sdn Bhd (MNA Energy) dan Wheelspin Motorsports, dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Handal Energy Solutions adalah anak syarikat milik penuh Handal Energy Bhd (Handal).

Ketua Pegawai Operasi NanoMalaysia, Mohamad Hafiz Zolkipli, berkata program itu adalah projek khas di bawah program pengkomersialan teknologi nano di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang menyaksikan agensi itu menyuntik modal sehingga RM500,000 untuk membangunkannya.

Beliau berkata, pembabitan rakan teknologi lain pula memberikan sumbangan mengikut kepakaran masing-masing seperti UTM dalam pembangunan sistem motor elektrik, manakala Handal terbabit dalam kejuruteraan casis kereta dan integrasi sistem.

“Pulsar UAV memfokuskan kepada pembangunan kartrij Fuel Cell; MNA Energy untuk teknologi ultrakapasitor menggunakan teknologi nano grafin dan sistem MESS; manakala Wheelspin Motorsports pula bagi platform kereta.

“Kami menyasarkan kereta itu akan sedia dibangunkan menjelang akhir tahun ini. Awal tahun depan pula dijangka memasuki fasa pengujian seterusnya ke peringkat pemasaran untuk mendapatkan pelabur.

“Secara potensinya, kereta ini boleh dibangunkan dalam tempoh lima tahun kerana kami dapati semua negara luar sudah memulakan inisiatif ini. Justeru, tiada alasan untuk Malaysia ketinggalan,” katanya dalam temu bual dengan BH di sini, baru-baru ini.


Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin bersama wakil 5 entiti pada majlis menandatangani MOA membangunkan HyPER di Malaysia pada IGEM 2019, baru-baru ini.

Kelima-lima entiti itu memeterai memorandum perjanjian (MOA) untuk bersama membangunkan HyPER di Malaysia pada Pameran Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM 2019), baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafiz, berkata secara asasnya kereta itu dipacu tenaga elektrik sebagai sumber kuasa utamanya yang disimpan secara hibrid dalam ultrakapasitor menggunakan teknologi nano grafin dan bateri litium ion.

Justeru, katanya, pengguna di bandar mudah mendapatkan akses bekalan kuasa untuk mengecas kereta hanya dalam beberapa minit, manakala Fuel Cell digunakan bagi menjana kuasa tambahan atau lebih tork ketika pecutan.

“Dalam situasi tidak boleh mengecas kereta atau tiada akses bekalan elektrik, pengguna boleh beralih kepada hidrogen sebagai sumber kuasa utama dan kereta itu boleh dipacu oleh air.

“Kebiasaannya Fuel Cell lain memerlukan pembekalan hidrogen yang sudah tersedia, namun HyPER dibangunkan melalui keupayaan menjana hidrogennya sendiri menggunakan campuran air dengan pemangkin bahan kimia lain.

“Kami cuba mengindustrikan teknologi ini supaya boleh dimasukkan ke dalam HyPER kelak,” katanya.

Berita Harian X