Rabu, 9 Oktober 2019 | 3:58pm
Toyota Corolla generasi ke-12 dilancarkan hari ini pada harga bermula RM136,888. - NSTP/Mohd Zaky Zainuddin

UMWT lancar Corolla serba baharu

GENTING HIGHLANDS: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), pengedar rasmi kenderaan Toyota di Malaysia melancarkan Toyota Corolla serba baharu untuk pasaran tempatan yang ditawarkan pada harga bermula RM136,888.

Model Corolla generasi ke-12 itu ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.8G dan 1.8E yang masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM136,888 dan RM128,888.

Presiden UMWT, K Ravindran, berkata versi import sepenuhnya (CBU) itu menjadi model teras di dalam barisan kenderaan keluaran Toyota sejak beberapa dekad lalu.


Model Corolla generasi ke-12 itu ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.8G dan 1.8E. - NSTP/Mohd Zaky Zainuddin

Katanya, dengan Toyota Corolla serba baharu, UMWT menyasarkan menarik minat pelanggan baharu yang berhasrat untuk menaik taraf kenderaan kepada yang lebih bergaya berbanding kenderaan sebelum ini.

“Bagi generasi ke-12 terbaharu ini, ia mengikut jejak yang sama, selari dengan matlamat Toyota untuk menawarkan kenderaan yang lebih baik dari semasa ke semasa. 

"Toyota Corolla serba baharu antara model Toyota yang menerapkan penggunaan TNGA (Toyota New Global Architecture). TNGA menawarkan kepelbagaian yang lebih meluas kepada pereka dan jurutera untuk mengoptimumkan rekaan bagi pelbagai jenis kenderaan yang berbeza," katanya ketika melancarkan Toyota Corolla serba baharu di sini, hari ini.


Toyota Corolla serba baharu memenuhi perubahan keperluan seperti yang diinginkan oleh pengguna. - NSTP/Mohd Zaky Zainuddin

Yang turut hadir, Pengerusi UMWT, Tan Sri Hamad Kama Piah Othman dan Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama.

Sementara itu, Takeyama berkata, UMWT menyasarkan menjual kira-kira 2,000 unit setahun bagi model Corolla serba baharu itu.

“Kami yakin untuk mencapai sasaran dengan pelanggan utama kami terdiri daripada golongan profesional dan eksekutif,” katanya.

Corolla adalah model kereta paling laris di dunia untuk jenama Toyota, dengan 46 juta unit dikeluarkan sejak mula diperkenalkan pada 1966. 


Toyota Corolla direka untuk memberikan selesaan dan keluasan, tampil moden dengan suasana yang menyenangkan. - NSTP/Mohd Zaky Zainuddin

Model Corolla yang pertama dahulu memberi sumbangan penting terhadap perkembangan pengangkutan di Jepun, selain menjadi kereta pertama yang dipasangkan di Malaysia.

Setakat ini, lebih 150,000 unit terjual di pasaran Malaysia. Seperti generasi terdahulu, Toyota Corolla serba baharu memenuhi perubahan keperluan seperti yang diinginkan oleh pengguna.

Ia dibangunkan dengan konsep "Prestige and Advanced" untuk membawa Corolla ke satu era yang lain dan mampu menepati jangkaan tinggi dari pengguna.  


Toyota Corolla direka untuk memberikan selesaan dan keluasan, tampil moden dengan suasana yang menyenangkan. - NSTP/Mohd Zaky Zainuddin

Sentuhan rekaan terbaru pada Corolla serba baharu ini mengikut tema dinamik yang diperkenalkan pada model Toyota sebelum ini.

Sebagai contoh, lampu utama dengan lampu nyalaan siang LED ditempatkan di sepanjang jalur kemasan krom, membuatkan kereta ini mempunyai aliran rekaan dinamik serta nampak lebar pada bahagian depan seperti yang dapat dilihat pada varian 1.8G. 

Bahagian kabin dalaman Corolla pula direka untuk memberikan selesaan dan keluasan, tampil moden dengan suasana yang menyenangkan, baik pada penglihatan dan juga sentuhan; sekaligus menjadi cerminannya sebagai sebuah sedan yang berprestij. 

Lain-lain ciri yang ada pada Corolla terbaharu ini ialah meter optitron dengan MID 7-inci yang boleh diubah kepada paparan meter analog dan juga digital, monitor pemandangan panoramik dengan imej 3D, cermin pandang belakang elektrokromatik, mod Sport dengan paddle shifter, pelindung cahaya matahari di belakang serta pengecas tanpa wayar untuk telefon. 

Kedua-dua varian Corolla terbaharu ini menggunakan enjin 1.8-liter 2ZR-FE empat-silinder DOHC 16-injap dengan Dual VVT-i.

Enjin ini menawarkan keseimbangan yang baik antara prestasi dan kecekapan, selain menghasilkan janaan kuasa 139 PS pada 6,400 rpm dan tork puncak 172 Nm pada 4,000 rpm. 

Bagi sistem transmisi, CVT tujuh-kelajuan Sequential Shiftmatic yang digunakan diberi penambahbaikan dengan pendikit kawalan elektronik yang menyumbang kepada tahap pemanduan, kelancaran, kesenyapan dan penggunaan bahan api yang lebih baik. 

Untuk aspek keselamatan, varian 1.8G dilengkapi dengan sistem keselamatan termaju Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi lima sistem canggih iaitu sistem pra-perlanggaran (PCS), amaran penukaran lorong (LDA), bantuan stereng dan bantuan pengesanan lorong (LTA), kawalan melayar radar dinamik (DRCC) semua kelajuan serta lampu tinggi automatik (AHB). 

Kedua-dua varian ini didatangkan dengan tujuh beg udara SRS dan semua tempat duduk dilengkapi dengan tali keledar tiga-poin ELR untuk mengekalkan penumpang pada kerusi sekiranya berlaku perlanggaran.

Lain-lain sistem keselamatan standard yang ada termasuk kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, sistem brek anti-kunci (ABS), kawalan bantuan mula mendaki (HAC) dan sistem tinjauan tekanan tayar.

Selain itu, bagi 1.8G, ia juga dilengkapi dengan ciri tambahan brek parkir elektrik serta Brake Hold.

Toyota Corolla baharu ditawarkan dengan lima warna iaitu Celestite Gray Metallic, White Pearl CS, Silver Metallic, Red Mica Metallic dan Attitude Black.

Berita Harian X