Isnin, 7 Oktober 2019 | 7:07pm
PETRON menjalinkan kerjasama rapat dengan Honda Malaysia untuk menawarkan pemeriksaan percuma kepada 1,100 kereta di empat stesen minyak Petron yang terletak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu, baru-baru ini. NSTP/Email

Petron, Honda periksa 1,100 kereta secara percuma

KUALA LUMPUR: Advokat keselamatan jalan raya, Petron Malaysia dengan kerjasama Honda Malaysia menawarkan pemeriksaan 32-poin percuma kepada 1,100 kereta pelbagai jenama yang berlangsung di empat stesen minyak jenama itu.

Empat stesen minyak Petron yang terbabit masing-masing terletak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu.

“Kami dengan sukacitanya menawarkan perkhidmatan ini kepada pelanggan kami bersama rakan kongsi, Honda Malaysia, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan kenderaan sebelum mereka memulakan perjalanan di atas jalan raya.

“Dengan ini, kami berharap kemalangan jalan raya dapat dikurangkan terutamanya semasa musim perayaan,” kata Ketua Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Petron Malaysia, Lokman Hani.

Keselamatan jadi keutamaan

Petron bekerjasama dengan Honda Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kereta secara percuma di stesen minyak Petron terpilih di negeri berkenaan.

“Memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik adalah sangat penting. Pemeriksaan mudah boleh membantu mengelakkan kejadian yang tidak diingini dan menyelamatkan nyawa.

“Apabila merancang untuk memandu jarak jauh, anda mungkin cenderung untuk mengabaikan kenderaan kereta anda yang mungkin memerlukan beberapa pemeriksaan mudah.

“Keselamatan menjadi keutamaan kami, dan kami harap dapat meluaskan lagi perkhidmatan ini kepada lebih banyak pengguna terutamanya buat mereka yang akan memandu jarak jauh,” tambah Lokman.

Stesen yang mengambil bahagian dalam kempen empat hari ialah Petron Jalan Tengku Mizan di Kuala Terengganu; Petron Jalan Tengah di Georgetown; Petron Jalan Beserah di Kuantan; dan Petron Jalan Sentul di Kuala Lumpur.

Tahun lalu, Petron melaksanakan 20 pemeriksaan keselamatan kereta kepada lebih daripada 3,800 kereta di beberapa stesen Petron.

Berita Harian X