Isnin, 7 Oktober 2019 | 7:02pm
YAMAHA YZF-R15. NSTP/Email

Warna, grafik baharu Yamaha YZF-R15

KUALA LUMPUR: Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) mengumumkan tiga pilihan warna baharu dan grafik terkini bersempena MotoGP bagi model YZF-R15 2019.

Bagi pilihan warna, YZF-R15 yang ditawarkan mulai bulan lalu didatangkan dengan tiga warna iaitu Race Blu, Yellow dan Black.

HLYM turut memperkenalkan YZF-R15 Monster yang tampil dengan skim grafik berdasarkan model sebenar Yamaha Factory Racing YZF-M1.


YAMAHA YZF-R15. NSTP/Email


YAMAHA YZF-R15. NSTP/Email

Tiga warna baharu yang ditawarkan menerusi YZF-R15 menyaksikan harga jualan asas tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insurans kekal kepada RM11,988.

Bagaimanapun, untuk YZF-R15 Monster, peminat tegar Valentino Rossi dan Maverick Vinales hanya perlu menambah sedikit wang kerana harga jualan asas tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insurans yang ditawarkan adalah RM12,618.

“Bagi memperingati penyertaan Yamaha dalam MotoGP, kami membawakan skim grafik baharu YZF-R15 Monster dan pelanggan bagi edisi terhad ini turut akan menerima Sijil Pemilikan,” kata HLYM.

Rangkaian kuasa sama

YZF-R15 dikuasakan dengan enjin satu silinder 155 cc, penyejukan cecair, dengan teknologi VVA dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 19.3 kuasa kuda (hp) dan tork 15 Nm.

Ia di padankan dengan transmisi enam kelajuan, bersama klac jenis slipper & assist secara standard.

Walaupun cuma menggunakan enjin 155 cc, R15 ini datang dengan kelengkapan sporty seperti tayar yang lebar 100/80-17 di depan, 140/70-17 di belakang, cakera brek depan berdiameter 282 mm, brek cakera 220 mm di belakang, panel instrumen LCD, kerangka Deltabox dan swingarm aluminium.

Jentera seberat 137 kilogram (kg) ini turut tampil dengan fork USD selain tangki bahan api yang disediakan berkapasiti 11 liter.

Pada bahagian kokpit, terdapat panel paparan digital, dan ia menyediakan pelbagai maklumat seperti kadar rpm, kelajuan, odometer, penggunaan bahan api, kedudukan gear, tahap minyak dan lampu amaran.

Selain itu, meter ini juga dilengkapi dengan lampu waktu menukar gear (shift light), manakala lampu depan dan belakangnya adalah unit LED.

Berita Harian X