Rabu, 2 Oktober 2019 | 4:19pm
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

PROTON jual 70,330 unit kereta sembilan bulan 2019

KUALA LUMPUR: PROTON kembali menjadi antara pesaing utama pasaran automotif tempatan apabila merekodkan jualan sebanyak 70,330 setakat sembilan bulan tahun ini, melepasi jumlah jualan setahun pada 2018.

Pengeluar kenderaan nasional itu dalam satu kenyataan berkata, lonjakan jualan PROTON pada tahun 2019 membawa syarikat kembali ke landasan tepat untuk bersaing dengan jenama utama automotif negara.

“Dengan jumlah sebanyak 70,330 unit didaftarkan bagi pasaran domestik dan eksport setakat suku ketiga tahun ini, ia pencapaian sangat memberangsangkan, berbanding 64,744 bagi jumlah keseluruhan tahun lalu,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata pengeluar jenama nasional itu kini berada di landasan yang betul untuk mencatat angka pertumbuhan yang besar sepanjang tahun ini

“Ia melebihi jumlah jualan keseluruhan 2018 hanya dalam tempoh sembilan bulan dan PROTON dapat menyasarkan untuk mencapai angka jualan terbaik sejak 2015,” katanya.

Dengan jumlah jualan sebanyak 8,934 unit bagi pasaran domestik dan eksport didaftarkan pada September 2019, syarikat itu mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 97 peratus berbanding 4,524 unit pada bulan yang sama tahun lalu.

Prestasi luar biasa PROTON yang menganggarkan pegangan pasaran sebanyak 20.2 peratus, menunjukkan kadar jualan syarikat meningkat lebih tinggi berbanding pesaing.

“Angka ini adalah yang tertinggi dalam tempoh 66 bulan dan membantu meningkatkan pegangan pasarannya setakat ini sebanyak 15.8 peratus pada 2019,” kata Chunrong.

Sementara itu, model PROTON yang paling menjadi pilihan pada September adalah Saga dengan 3,994 unit diserahkan bulan lalu, jumlah tertinggi bagi sebuah model PROTON pada 2019.

Angka itu juga bermaksud Saga adalah sedan segmen A terlaris di Malaysia, kedudukan yang dicapai semula selepas hampir tiga tahun.

“Apa yang lebih penting adalah Saga kembali di kedudukan nombor satu dalam segmennya. Meskipun baharu dilancarkan kurang dari dua bulan yang lalu, sambutan daripada rakyat Malaysia sangat positif,” tambah Chunrong.

Berita Harian X