X
Isnin, 19 Ogos 2019 | 6:46pm

Jualan kereta Malaysia susut bulan lalu

KUALA LUMPUR: Jualan kereta Malaysia mencatatkan penurunan tahunan 26 peratus pada Julai , berikutan ketiadaan cuti cukai selama tiga bulan seperti yang dilaksanakan tahun lalu.

Kerajaan mengenakan kadar sifar ke atas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula Jun hingga Ogos tahun lalu, menjelang peralihan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang lebih memberi manfaat kepada pengguna.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, sebanyak 50,853 kenderaan dijual pada Julai berbanding 68,466 unit pada tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya secara perbandingan bulanan, keseluruhan jualan bagi kenderaan baharu meningkat sebanyak 20 peratus atau 8,327 unit berbanding Jun disebabkan bulan kerja lebih lama.

“Mengikut asas segmen, jualan kenderaan penumpang baharu merosot 25 peratus tahun ke tahun pada Julai kepada 46,189 unit daripada 61,212 unit.

“Manakala, jualan kenderaan komersial baharu merosot 36 peratus tahun ke tahun kepada 4,664 unit daripada 7,254 unit.

“Pengeluaran keseluruhan juga turut susut 11 peratus tahun ke tahun pada Julai kepada 48,912 unit daripada 55,164 unit,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia berkata, sehingga kini, jumlah jualan kenderaan susut sebanyak tiga peratus kepada 347,187 kenderaan berbanding 358,065 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

“Setakat ini, penjualan kenderaan penumpang turun sebanyak dua peratus tahun ke tahun kepada 317,064 unit daripada 322,135 unit, manakala jualan kenderaan komersial susut 16 peratus kepada 30,123 unit daripada 35,930 unit,” katanya.

Sementara itu, daripada jumlah kereta yang dikeluarkan, MAA berkata, jumlah kenderaan susut 0.65 peratus kepada 333,940 kenderaan berbanding 336,111, tahun lalu.

Mengulas mengenai unjuran pada Ogos, MAA berkata, pihaknya menjangkakan prestasi akan dikekalkan pada paras Julai.

Berita Harian X