Selasa, 23 Julai 2019 | 3:59pm
Daimler yang mengeluarkan jenama mewah Mercedes-Benz, telah lama bekerjasama dengan BAIC di China. - Foto fail Reuters
Daimler yang mengeluarkan jenama mewah Mercedes-Benz, telah lama bekerjasama dengan BAIC di China. - Foto fail Reuters

Syarikat China kuasai Daimler

BERLIN: Firma kerajaan China, Beijing Automotive Group Co Ltd (BAIC) membeli lima peratus kepentingan dalam Daimler, yang pemegang saham utamanya sejak tahun lalu adalah syarikat pesaingnya, Geely, kata pengeluar kereta mewah Jerman itu.

Daimler, yang mengeluarkan jenama mewah Mercedes-Benz, telah lama bekerjasama dengan BAIC di China dan sebelum ini berkata terdapat kemungkinan bahawa BAIC akan membeli kepentingan modalnya.

“Kami sangat gembira kerana Rakan kerjasama kami BAIC kini adalah pelabur jangka panjang dalam Daimler,” kata Ketua Eksekutifnya, Ola Kallenius dalam satu kenyataan.

“Langkah ini mengukuhkan lagi kejayaan kerjasama kami dan satu isyarat terhadap kepercayaan dalam strategi dan potensi masa depan syarikat,” tambahnya.

Daimler sudah lama bekerjasama dengan BAIC di China dan sebelum ini berkata terdapat kemungkinan bahawa firma China itu akan membeli kepentingan modalnya.

Kedua-dua syarikat bekersama mengeluarkan kenderaan Daimler di China, manakala Daimler memiliki hampir 10 peratus kepentingan dalam BAIC Motor, anak syarikat senaraian awam BAIC.

Namun tahun lalu, pemilik Geely, Li Shufu tanpa dijangka membeli hampir 10 peratus kepentingan dalam Daimler, sekali gus mengejutkan eksekutif pengeluar kereta Jerman itu.

Geely memiliki Volvo Cars, pengeluar kereta mewah Sweden yang dipulihkan untuk mencatatkan rekod jualan dengan mengeluarkan lebih banyak kenderaan utliti sukan (SUV).

Pelaburan oleh BAIC meletakkannya di belakang Geely, dengan 9.69 peratus saham Daimler.

Manakala, dana kerajaan Kuwait memiliki kira-kira tujuh peratus.

Pakatan pengeluar kereta Renault-Nissan sebelum ini adalah pemegang saham ketiga terbesar Daimler.

Tahun lalu, Daimler bersama BAIC mengumumkan rancangan untuk melabur 1.5 bilion euro (RM6.9 bilion) dalam kilang pemasangan kenderaan elektrik generasi akan datang Mercedes-Benz.

Pengeluar kereta Jerman itu juga mempunyai rancangan kenderaan elektrik bersama Geely. - AFP

Berita Harian X