Rabu, 17 Julai 2019 | 7:43pm

Mazda 3 serba baharu dilancar

PETALING JAYA: Bermaz Auto Bhd, pengedar eksklusif jenama Mazda di Malaysia melancarkan model Mazda 3 serba baharu untuk pasaran Malaysia.

Model berkenaan ditawarkan dengan dua enjin petrol SkyActiv-G iaitu 1.5L dan 2.0L dengan SKYACTIV-DRIVE 6 kelajuan automatik dan G-Vectoring Control Plus.

Tiga varian ditawarkan iaitu MAZDA3 1.5L pada harga RM139,620 untuk liftback dan RM139,620 untuk sedan; MAZDA 2.0 L (High) pada harga RM150,059 untuk sedan manakala MAZDA3 2.0L (High Plus) pada harga RM160,059 (liftback) dan RM160,059 (sedan).

Masih mengekalkan bahasa reka bentuk Kodo, Mazda 3 kini tampil dengan lampu utama yang lebih langsing serta gril yang lebih lebar.

Perbezaan antara liftback dan sedan terletak pada bahagian belakang, di mana liftback mempunyai rekaan yang lebih ‘sporty’ manakala sedan pula direka untuk tampil elegan.

Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Bhd, Datuk Seri Ben Yeoh, berkata model Mazda kini dijual sebanyak 16,000 unit di Malaysia secara tahunan dan dengan pengenalan Mazda 3 serba baharu ini akan merancakkan lagi jualan model terbabit.

Beliau berkata, Mazda kini bukan saja menjadi model jualan tetapi turut menjadikan Malaysia sebagai hab pemasaran eksportnya dengan kemudahan sedia ada Mazda di Malaysia.

“Model Mazda melalui kerjasama kami dengan Mazda Malaysia dan Mazda Corporation Japan membolehkan unit kenderaan Mazda dieksport ke beberapa negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.

“Ini menunjukkan Malaysia menjadi pasaran penting kepada Mazda,” katanya selepas melancarkan Mazda 3 serba baharu di sini, hari ini.

Untuk bahagian dalaman, Mazda 3 mempunyai susun atur kabin yang kemas dengan mempunyai skrin hiburan 8.8 inci manakala suis kawalan diletakkan bersebelahan dengan stereng.

Bagi ciri keselamatan, Mazda 3 mempunyai sistem i-Activesense dengan ciri Driver Monitoring System yang memantau keadaan pemandu dengan menggunakan kamera dan LED inframerah.

Sistem berkenaan juga merangkumi ciri-ciri lain seperti Smart Brake Support (SBS), Front Cross Traffic Alert (FCTA), dan Cruising & Traffic Support (CTS).

KETUA Pegawai Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Datuk Francis Lee (dua dari kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Datuk Seri Ben Yeoh (tiga dari kiri), Pengurus Besar Pejabat Jualan Asean Mazda Corporation Japan, Susumu Niinai (dua dari kiri) bergambar selepas majlis pelancaran kereta Mazda 3, Sedan dan Liftback di 1 Utama. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
KETUA Pegawai Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Datuk Francis Lee (dua dari kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Datuk Seri Ben Yeoh (tiga dari kiri), Pengurus Besar Pejabat Jualan Asean Mazda Corporation Japan, Susumu Niinai (dua dari kiri) bergambar selepas majlis pelancaran kereta Mazda 3, Sedan dan Liftback di 1 Utama. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Berita Harian X