Jumaat, 21 Jun 2019 | 6:28pm

Jualan kereta nasional dijangka terus memberangsangkan

KUALA LUMPUR: AmInvestment Bank mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automobil dengan menjangkakan jumlah jualan kereta nasional akan terus mencatat angka memberangsangkan bagi tempoh sepanjang 2019.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, ia berkata buat pertama kali sejak 2014, sektor itu akan menyaksikan perubahan radikal apabila bahagian pasaran kereta nasional terbukti dengan mudah melepasi kereta bukan tempatan.

“Permintaan kukuh dan berterusan terhadap Perodua Myvi and Axia beserta model Proton berharga kompetitif seperti Persona dan Iriz akan terus memacu sektor automobil tempatan dalam tempoh jangka pendek," katanya.

Menurutnya, jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) pada Mei 2019 turut melonjak 22 peratus bagi bulan ke bulan dan 41 peratus tahun ke tahun yang adalah satu angka rekod tertinggi baharu selepas tempoh tanpa cukai pada 2018, kepada 60,800 unit.

AmInvestment berkata, prestasi cemerlang Proton pada Mei 2019 itu meletakkan syarikat itu di tempat kedua selepas Perodua dari segi bahagian pasaran untuk bulan tersebut.

“Proton berjaya meraih 17 peratus daripada bahagian pasaran pada Mei 2019. Kami percaya ini disebabkan oleh tiga faktor - rebat dan diskaun musim perayaan Aidilfitri, bulan pertama penghantaran unit Persona dan Iriz yang ditambah baik serta jualan Saga yang melebihi jangkaan iaitu lebih 3,600 unit bagi bulan itu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X