Rabu, 29 Mei 2019 | 6:21pm
Ciri aerodinamik yang dipertingkatkan.
Ciri aerodinamik yang dipertingkatkan.

YZF-R25 2019 terbaik dalam kelas 250cc

Sejak dilancarkan pada 2014, model siri motosikal berkuasa sederhana Yamaha R25 cukup popular dalam kalangan penunggang muda berusia sekitar 20-an.

Pada awal tahun ini, serentak dengan pelancaran Tracer 900 GT, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mempamerkan model baru YZF-R25 2019 yang menggantikan model R25 sebelumnya. Harganya juga tidak banyak beza dengan yang sebelumnya apabila ditawarkan pada RM19,988, tidak termasuk insurans, lebih sedikit berbanding RM19,463.

Antara penambahbaikan yang ditampilkan adalah reka bentuk yang lebih aerodinamik dan suspensi depan terbalik (USD) yang lebih bergaya.

Pada majlis pelancarannya di Jakarta, yang turut dihadiri BH Auto, pada Oktober tahun lalu, Presiden Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif PT Yamaha Indonesia Motor Manufacturing (YIMM), Minoru Marimoto, menjelaskan reka bentuk baharu ini menyumbang kepada kelajuan maksimum lebih tinggi.

Susulan penambahbaikan ciri aerodinamik itu, YZF-R25 2019 ini mempunyai kelajuan tambahan 8 kilometer sejam (km/j) meskipun menggunakan enjin sama seperti model terdahulu.

Reka bentuk lebih segar

BH Auto berpeluang menunggang uji model terbaharu ini pada minggu lalu dan jelas terdapat kemajuan ketara khususnya dari segi kawalan, sekali gus diyakini mengukuhkan lagi dominasi Yamaha dalam kategori motosikal 250cc.

Dari segi penampilan YZF-R25 2019, yang dikilangkan di Indonesia ini, mempunyai reka bentuk lebih segar dan sporty. Ia tampak lebih agresif dengan Lampu LED dan bentuk badan lebih tirus.

Sekilas pandang "Supersport Design" bahagian hadapan YZF-R25 2019 amat mirip 'abangnya' R6 dengan bentuk lampu yang meruncing, manakala lubang aliran udara di bahagian tengahnya mengingatkan garis rekaan model supersport R1.

Berbanding dengan model sebelumnya, bentuk tangki pada R25 baharu lebih lekuk dengan posisi tempat duduk penunggang yang sporty.

Fairing hadapannya juga lebih rendah. Bahagian kowl depan struktur tiga dimensi (3D) berkemampuan mengurangkan rintangan angin, manakala skrin penghadang anginnya pula menangkis tamparan angin ke muka penunggang, justeru terasa lebih selesa.

Sementara itu, panel meter paparan LCD penuh membolehkan penunggang melihat jelas bar rpm setiap kali memulas pendikit. Turut dipaparkan adalah maklumat penting lain seperti spidometer, bar minyak dan posisi gear.

Suspensi hadapannya yang terbalik atau USD adalah sesuatu yang menarik kerana kelebihan ciri sebegini adalah, ia lebih stabil ketika ditunggang pada kelajuan tinggi, selain tampak lebih elegan.

Sistem suspensi USD Kayaba ini juga menawarkan kelebihan redaman dan nisbah spring yang amat baik. Keadaan ini membolehkan penunggang memasuki selekoh dengan pantas pada kelajuan tinggi.

Beraksi ala trek

Meskipun, daya henti tidak dilengkapi sistem ABS, namun tekanan damper dan nisbah spring dioptimumkan untuk keseimbangan pada fork USD, memberikan cengkaman lebih kuat ketika membrek dan mengambil selekoh.

Pada masa sama, kedudukan hendal direndahkan 20 milimeter ala motosikal lumba di atas trek, membolehkan penunggang membongkok lebih rapat ke depan dengan berat badan dialihkan ke bahagian hadapan untuk lebih cengkaman kendalian.

YZF-R25 2019 yang dilengkapi 249cc sejukan cecair; 4-strok 2-silinder sebaris DOHC dan 8-injap dengan omboh aluminium ringan bagi menghasilkan pecutan yang lancar dan kuasa yang mudah dikawal. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa 35bhp dan tork 22.6Nm.

Meskipun enjin sama seperti model sebelumnya, namun kuasanya terasa jitu sebaik saja pendikit diperah dan tork yang enak pada mana-mana gear.

Penulis meluncur mencapai halaju 177 kmj pada 12,500rpm.

Menarik juga apabila penukaran gear juga amat lancar seumpama dilengkapi ‘quickshifter’ dan klacnya juga lembut seperti ada ‘slipper clucth’. Pemetaan enjin ‘high end torque’ terasa penukaran gear ketika rpm tinggi amat menyeronokkan.

Kesimpulannya, dalam kategori motosikal berkuasa sederhana, iaitu berkapasiti antara 250cc hingga 400cc, YZF-R25 2019 adalah model yang boleh dikatakan yang terbaik. Rasa dan tunggang sendiri. Penulis pasti anda akan berkongsi perkara sama.

Spesifikasi:

Enjin: 249 CC, 4-strok, 8-valve, sejukan cecair, DOHC, suntikan bahan bakar

Kuasa: 35.5 bhp @ 12000 rpm

Tork: 22.1 NM @ 10000 rpm

Transmisi: 6 kelajuan

Klac: Basah multiplat

Ketinggian: 780 mm

Berat: 166 kg

Kapasiti tangki: 14.30 liter

Kelajuan maksimum: 173 kmj

Fork hadapan: Teleskopik USD

Supensi belakang: Monocross

Tayar hadapan: 110/70-17

Tayar belakang: 140/70-17

Berita Harian X