Khamis, 18 April 2019 | 8:45pm

UMWT lancar Toyota Yaris, harga dari RM70,888

PETALING JAYA: UMW Toyota Motor (UMWT), pengimport dan pengedar sah eksklusif kenderaan Toyota di Malaysia melancarkan Toyota Yaris serba baru yang ditawarkan pada harga bermula RM70,888.

Toyota Yaris adalah model kedua yang dipasang di kilang baru UMWT di Bukit Raja, Klang, Selangor selepas model Vios.

Model hatchback segmen B itu ditawarkan dengan tiga varian iaitu Yaris 1.5G, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5J yang masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM83,888, RM76,888 dan RM70,888.

Presiden UMWT, K Ravindran, berkata sebagai tambahan terkini kepada barisan kenderaan Toyota, Yaris menjadi bukti sokongan syarikat terhadap usaha kerajaan untuk melihat peningkatan dalam kandungan serta aktiviti pengeluaran kenderaan tempatan. 

“Agak lama UMWT tidak mempunyai kenderaan hatcback di dalam penawaran kenderaannya di Malaysia. Toyota Yaris terakhir dijual antara tahun 2006 dan 2012 yang dibawa masuk secara import sepenuhnya (CBU) dari Jepun. 

“Selera dan keperluan pengguna juga sudah berubah. Kini kita melihat ramai pelanggan, terutama dari generasi muda, yang menggemari rekaan hatchback kerana ia memberikan imej sporty. Melihat corak ini, kami mengambil keputusan untuk memperkenalkan semula Yaris ke dalam barisan kenderaan yang ditawarkan.

“Model ini juga merupakan hatchback pemasangan tempatan (CKD) yang pertama bagi UMWT," katanya pada sidang media pelancaran Toyota Yaris di sini, hari ini. 

Toyota Yaris serba baru dilengkapi enjin 2NR-FE 1.5 liter, empat-silinder DOHC Dual VVT-i yang ditala untuk memberikan penjimatan dan penyaluran kuasa serta tork lancar.

Semua varian yang menggunakan transmisi Sport Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan itu juga turut mempunyai mod manual bagi membolehkan pemandu memilih kedudukan gear dalam sistem CVT bagi mendapatkan maklum balas yang lebih pantas. 

Model terbaru Toyota yang turut menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP didatangkan dengan ciri keselamatan termasuk tujuh beg udara SRS, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman (TRC) serta bantuan mula mendaki (HAC).

Untuk menyerlahkan lagi imej sporty yang dimilikinya, lima warna menonjol tersedia untuk dipilih, termasuk warna khas Citrus Mica Metallic.

Pilihan warna lain ialah Super White II, Red Mica Metallic, Attitude Black dan Silver Metallic.

Berita Harian X