Rabu, 17 April 2019 | 7:15pm

Jualan kenderaan Mac meningkat hampir 10 peratus

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan Malaysia pada Mac 2019 meningkat 9.58 peratus kepada 54,776 unit daripada 49,987 unit setahun lalu, disokong oleh jualan kenderaan penumpang lebih tinggi.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, jualan kenderaan penumpang meningkat kepada 50,101 unit, berbanding 44,488 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, ia diimbangi oleh penurunan jualan kenderaan penumpang berjumlah 4,675 unit, berbanding 5,499 unit pada Mac 2018.

Jumlah jualan terkumpul antara Januari dan Mac 2019 juga meningkat kepada 143,064 unit, daripada 135,110 unit tahun lalu.

“Jumlah jualan bagi Mac 2019 adalah 37 peratus atau 14,938 unit lebih tinggi berbanding Februari 2019, disebabkan oleh bulan bekerja lebih panjang serta syarikat bergegas untuk membuat penghantaran memandangkan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019.

“Jumlah jualan bagi April 2019 dijangka kekal pada paras Mac, disebabkan oleh kempen promosi berterusan oleh syarikat-syarikat kereta,” kata MAA.

Pada tahun lalu, berdasarkan statistik oleh MAA, jualan kenderaan di Malaysia adalah sebanyak 598,714 unit.

Ia mewakili peningkatan sebanyak 3.8 peratus daripada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah berkenaan, 62 peratus daripadanya adalah kenderaan cekap tenaga (EEV).

Dari segi eksport pula, Malaysia telah mengeksport kenderaan berjumlah RM2 bilion, dan eksport komponen automotif tempatan telah mencecah RM12 bilion.

Di Malaysia, terdapat 27 pengeluar jenama kenderaan, merangkumi jenama nasional dan antarabangsa.

Di samping itu, terdapat lebih dari 700 vendor, 53,000 pengedar, penjual dan pusat servis, dan juga lebih 700 ribu individu yang bekerja di dalam sektor automotif dan mobiliti.

Berita Harian X