X
Khamis, 17 Januari 2019 | 6:37pm
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed berucap pada Majlis Perjanjian Kolaborasi Proton Bersama Pembekal Dalam Dan Luar Negara di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed berucap pada Majlis Perjanjian Kolaborasi Proton Bersama Pembekal Dalam Dan Luar Negara di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE hari ini. - Foto BERNAMA

PROTON panggil semula model Perdana generasi terbaharu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) memanggil balik semua model Proton Perdana generasi terbaharu, yang membabitkan 6,432 kenderaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Radzaif Mohamed, berkata langkah memanggil balik model berkenaan adalah untuk menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang.

“Ini berikutan model Proton Perdana adalah berasaskan Honda Accord, dan kereta yang terbabit dibina dari 2012 hingga akhir Ogos 2018.

“Honda Motor Company juga baru-baru ini mengumumkan panggilan balik Honda Accord untuk menggantikan inflator beg udara penumpang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, notis mengenainya akan dihantar kepada pemilik yang terbabit.

“Semua pemilik Proton Perdana akan dimaklumkan dan dinasihatkan menghubungi pusat servis kami untuk membuat janji temu bagi menggantikan inflator beg udara kereta masing-masing.

“Kereta yang dibina selepas 31 Ogos 2018, tidak terjejas. Penggantian inflator akan mengambil masa kira-kira sejam, tanpa bayaran,” katanya.

Pelanggan dinasihatkan menghubungi Talian Khidmat Perhubungan Pelanggan di 1-800-888-398 atau e-mel kepada customercare@proton.com untuk pertanyaan dan bantuan.

Khidmat penggantian itu adalah sebahagian daripada inisiatif global untuk kereta yang menggunakan beg udara Takata.

Berita Harian X