Rabu, 26 Disember 2018 | 6:48pm
Lexus UX menampilkan sentuhan premium dengan kemasan diilhamkan daripada budaya Jepun.

Lexus tayang dua model baharu

SEMPENA Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS'18) baru-baru ini, Lexus tidak ketinggalan untuk menayangkan model baharu yang dijangka akan dibawa masuk untuk pasaran tempatan.

Dua model yang diperkenalkan itu adalah UX 200 dan ES 250.

Bermula dengan UX 200, ia adalah model crossover kompak yang juga kenderaan utiliti sukan (SUV) paling kecil dari Lexus pada masa ini.

Model ini dikuasakan enjin 2.0 liter empat silinder petrol yang mampu menghasilkan 169 kuasa kuda dan tork 205 nm serta dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan Direct Shift.

Dari segi penampilan luaran UX 200 menampilkan rekaan gril yang sinonim dengan jenama Lexus pada bahagian depannya selain dilengkapi lampu utama DRL LED yang tajam serta bahagian fender lebih ketara dengan garis bumbung rendah.

Pada bahagian belakang, lampu LED yang melintang memberikan sentuhan berbeza berbanding imej rekaan UX terdahulu,.

Dari segi reka bentuk, UX itu adalah sepanjang 4,496 mm dengan jarak antara roda 2,639 mm, sekali gus menjadikannya 144 mm lebih pendek dari NX.

Kemasan diilham budaya Jepun

Bahagian dalamannya pula menyaksikan sentuhan premium dengan kemasan diilhamkan dari budaya Jepun menggunakan lipatan kulit sashiko dan kertas washi.

Ia turut dilengkapi papan pemuka yang luas, paparan skrin tengah bersaiz 10.25 inci serta kawalan kaeadah Remote Touch.

Selain itu, UX baharu ini dilengkapi barisan Sistem Keselamatan Lexus, termasuk sistem Sistem Pra-pelanggaran (PCS), Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Cruise Radar Dinamik dengan Bantuan Mengesan Lorong (LTA), Sisterm Lampu Tinggi Adaptif (AHS), Bantuan Papan Tanda (RSA) dan Sistem Brek Parkir.


Lexus ES generasi ketujuh dipamerkan sempena Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS'18) baru-baru ini.

ES 250 lebih sporty

Beralih kepada ES baharu, model yang dipamerkan itu adalah model generasi ketujuh, yang menampilkan dengan rekaan lebih sporty.

Untuk bahagian depannya, gril spindle yang menjadi tanda unik model berkenaan kini tampil lebih agresif disertakan lampu utama lebih nipis, garis tajam daripada gril dan garis badan lebih berlekuk sekali membuatkan kereta itu lebih menyerlah.

Bahagian belakangnya pula menyaksikan rekaan lampu berbentuk L serta roda belakang yang lebih lebar.

Ia kini berukuran 4,975 mm panjang, 1,865 mm lebar dan 1,445 tinggi sekali gus menjadikannya lebih panjang, lebar dan rendah berbanding model sebelumnya. jarak rodanya pula adalah 2,870 mm iaitu penambahan sebanyak 51mm.

Pada bahagian dalam, ia dilengkapi panel paparan 12.3 inci yang disambung dengan sistem Lexus remote Touch, Head-up display serta panel instrumen tujuh inci.

Ia dikuasakan enjin empat silinder direct injection Dynamic Force 2.5 liter, yang dipadankan dengan transmisi automatik Dircet Shift lapan kelajuan yang mampu menghaslikan kuasa 204 hp pada 6,600 rpm dan tork 243 Nm antara 4,000 hingga 5,000 rpm.

Dari aspek keselamatan ia turut dilengkapi dengan Sistem Keselamatan Lexus seperti model UX.

Berita Harian X