X
Sabtu, 22 Disember 2018 | 8:41pm
Rekaan baharu Renault Captur lebih dinamik. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Rekaan baharu Renault Captur lebih dinamik. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Penambahbaikan Renault Captur

SESUAI dengan statusnya sebagai model crossover paling laris di Eropah, Renault Captur memiliki definisi yang cukup menonjol, selaras dengan pembaharuan yang ditampilkan dalam reka bentuknya.

Captur baharu yang diperkenalkan TC Euro Cars (TCEC), pemegang tunggal francais kenderaan Renault di Malaysia, Mei lalu hadir dengan indentiti yang ditambahbaik termasuk rekaan luaran yang lebih sporty dan menonjol menerusi warna dua tona baharu serta ruang kabin yang lebih kemas dan berkualiti tinggi.

Renault Captur baharu meneruskan faktor kejayaan model asalnya, termasuklah warna badan dua tona yang menarik.

Selain pilihan warna popular iaitu merah (Flame Red) pada bahagian badan dan bumbung hitam (Diamond Black), Captur baharu juga didatangkan dengan tiga warna baharu: warna badan oren (Atacama Orange), biru (Ocean Blue) dan putih (Pearl White) yang dipadankan dengan bumbung hitam (Diamond Black).

Harga Captur baharu bermula RM102,845 dan tambahan RM900 akan dikenakan ke atas pilihan warna merah (Flame Red) dan putih (Pearl White) yang turut merangkumi plat bahagian kaki dan bekas trunk tray.

Dikuasakan enjin pengecas turbo

Dipasang tempatan di kilang milik Tan Chong Group di Segambut, Captur baharu diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) dan menawarkan penjimatan bahan api yang mengagumkan.

 Dikuasakan oleh enjin pengecas turbo TCe 120 Renault. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Dikuasakan oleh enjin pengecas turbo TCe 120 Renault. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Dikuasakan oleh enjin pengecas turbo TCe 120 Renault, Crossover baharu ini berupaya menawarkan prestasi dan pecutan seperti enjin 1.8L aspirasi biasa.

Dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam kelajuan, crossover yang lincah ini menyediakan kuasa mencecah 120PS pada 4,900rpm dan tork puncak 190Nm daripada serendah 2,000rpm.

Pada masa yang sama mengekalkan penjimatan bahan api mengagumkan sehingga 5.4L/100km.

Renault Captur yang telah ditambah baik itu juga mengekalkan rangkaian peralatan dan ciri ekstensif.

Pada masa yang sama menjanjikan dinamik pemanduan yang cemerlang, pengendalian lincah, maklum balas enjin dan ciri bantuan pemandu yang membantu Captur mencapai kejayaan memberangsangkan di peringkat global seperti sekarang.

Ruang dalaman diserlahkan menerusi penggunaan plastik berkualiti tinggi dan papan pemuka yang lembut. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Ruang dalaman diserlahkan menerusi penggunaan plastik berkualiti tinggi dan papan pemuka yang lembut. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Terima penambahbaikan

Bermula dari bahagian hadapan, Renault Captur baharu kini menggunakan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang menjadi signatur kepada Renault.

Gril pula telah direka semula agar kelihatan hampir sama dengan model lebih besar, Kadjar.

Captur yang dipertingkatkan ini juga dipasang dengan rim aloi bersaiz 17 inci yang baru serta lampu isyarat membelok LED pada perumah cermin sisi.

Pasukan pereka bentuk bukan sahaja meningkatkan penampilan luaran Captur baharu agar selari dengan model-model moden seperti Koleos. Malah, mereka juga memberi perhatian khusus untuk menambah baik kualiti serta kemasan kabin.

Lebih bagus berbanding sebelumnya, ruang dalaman diserlahkan menerusi penggunaan plastik berkualiti tinggi dan papan pemuka yang lembut.

Tempat duduk, kemasan pintu dibalut gabungan kulit berwarna hitam, tuil gear yang telah direka semula dan panel pintu membuatkan kabin ini kelihatan semakin moden serta sofistikated.

Tempat duduk, kemasan pintu dibalut gabungan kulit berwarna hitam. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Tempat duduk, kemasan pintu dibalut gabungan kulit berwarna hitam. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Renault Captur baharu terus dibekalkan dengan spesifikasi dan peralatan ekstensif yang membantunya membina reputasi sebagai sebuah kenderaan yang versatil dan mesra pengguna.

Ruang kabin dan konfigurasi tempat duduk boleh diubah untuk memenuhi apa jua keperluan.

Tempat duduk belakang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 yang menawarkan ruang but luas daripada 377 liter kepada maksimum 1,235 liter.

Renault Captur baharu adalah terhubung sepenuhnya menerusi sistem multimedia MediaNav dengan skrin sentuh bersaiz 7 inci, AUX, USB, Bluetooth dan navigasi.

Ciri standard

Antara fungsi standard yang diteri Captur baharu ialah kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, dengan fungsi kunci automatik, kunci pintu automatik, lampu utama dan pengesan hujan automatik, kamera undur, sistem navigasi dan mod ECO dengan penjimatan bahan api tambahan sehingga 10 peratus.

Selain itu, versi terkini crossover ini juga menerima lantai but multi posisi yang versatil, ruang pada pintu yang boleh menempatkan botol minuman 1.5 liter, empat beg udara bercekapan tinggi iaitu dua di hadapan dan dua di bahagian kepala, /thoraks, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS dengan Bantuan Membrek Elektronik (EBA) dan pengagihan daya brek elektronik (EBD).

Ruang but Renault Captur lebih luas. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Ruang but Renault Captur lebih luas. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Info Renault Captur

• Harga bermula RM102,845

• Enjin turbo TCe 120 Renault

• Kuasa 120PS @ 4,900rpm dan tork puncak 190Nm @ 2,000rpm

• Lampu nyalaan siang (DRL) LED

• Rekaan baharu gril depan

Berita Harian X