Rabu, 19 Disember 2018 | 4:29pm

Jualan kenderaan Disember dijangka catat peningkatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jualan kenderaan pada Disember ini mengalami sedikit peningkatan berbanding November lalu.

Menurut persatuan itu, peningkatan terbabit bakal dipacu melalui pelaksanaan kempen promosi akhir tahun yang agresif dalam kalangan peserta industri.

“Kami melihat jumlah jualan kenderaan pada Disember ini mampu meningkat jika melihat prestasi jualan yang dicatatkan pada bulan lalu berbanding Oktober,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

MAA berkata, jumlah jualan kenderaan pada November 2018 menurun pada kadar 1.8 peratus atau 905 unit berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Untuk November 2018, jumlah jualan kenderaan adalah sebanyak 48,282 unit berbanding 49,187 unit bagi tempoh sama pada 2017.

“Bagaimanapun, jumlah jualan kenderaan pada November lalu meningkat kepada dua peratus berbanding Oktober berikutan kewujudan stok di pasaran dan kempen promosi akhir tahun,” katanya.

Daripada 48,282 unit kenderaan yang dijual pada November 2018, kenderaan penumpang menyumbang 43,364 daripada jumlah terbabit, manakala bakinya daripada kenderaan komersial.

Jumlah jualan kenderaan (TIV) dalam tempoh sehingga November 2018 adalah lima peratus lebih tinggi berbanding tempoh masa sama tahun lalu.

Sebanyak 550,526 unit kenderaan berjaya dijual dalam tempoh 11 bulan tahun ini di mana ia lebih tinggi berbanding 521,906 unit kenderaan yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Berita Harian X