Isnin, 19 November 2018 | 9:00am
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari. - Foto OWEE AH CHUN
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari. - Foto OWEE AH CHUN

Kereta nasional baharu pemangkin sektor ekonomi lain

KUALA LUMPUR: Idea kereta nasional baharu yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, boleh memainkan peranan sebagai pemangkin dalam menjana peluang bagi rakyat Malaysia berkecimpung di dalam sektor ekonomi lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari, berkata paling penting, projek kereta nasional baharu itu bakal memberi nafas baharu kepada kira-kira 700 pembekal komponen kenderaan sedia ada dalam ekosistem industri automotif negara.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan itu juga dijangka dapat menjana peluang bagi syarikat terbabit membekal komponen bertaraf global, malah mencipta peluang baharu kepada mereka yang sebelum ini mempunyai kepakaran dalam sektor lain.

“Automotif menjadi ‘ibu segala industri’, jika perkembangan teknologinya seiring dengan kehendak global di mana ia menjadi penghubung kepada perkembangan sektor lain termasuk pembinaan, tenaga dan telekomunikasi,” katanya kepada Bisnes NSTP.

Madani berkata, bagi menjayakan projek kereta nasional baharu ini, kerajaan sentiasa komited dalam menyokong pembangunan pembekal tempatan, sama ada dari segi penyerapan teknologi, model perniagaan mahupun pembangunan modal insan, seiring dengan keperluan pasaran global.

“Projek yang bakal dipacu oleh pihak swasta ini, kini berada di fasa semakan bagi kertas-kertas cadangan daripada pihak yang berminat, selepas tempoh pelawaan kertas cadangan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ditutup pada 15 Oktober lalu.

“Kertas-kertas cadangan ini sedang dinilai oleh MITI dan MAI berdasarkan kualiti pelaburan, penjanaan perniagaan dan pekerjaan baharu (termasuk lokalisasi), impak kepada alam sekitar, harga kompetitif serta kebolehan untuk memastikan penyertaan bermakna bagi bakat dan pembekal tempatan dalam aktiviti bernilai tinggi pembuatan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, MITI dan MAI membangunkan pelbagai program bagi memastikan syarikat tempatan dapat meningkatkan keupayaan teknologi sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Selain itu, pusat khas seperti Pusat Sumber MAI (MAI Resource Center) dan Pusat Rekabentuk MAI (MAI Design Center) disediakan khas bagi kegunaan syarikat-syarikat tempatan, sama ada kecil, sederhana ataupun besar.

“Paling penting, ekosistem pembekal tempatan yang diperkasakan melalui projek kereta nasional ketiga ini semestinya membawa manfaat besar kepada syarikat pengeluar kereta yang sudah pun bertapak di Malaysia, termasuk PROTON Holdings Bhd (PROTON) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA).

“Ini disebabkan syarikat pengeluar kereta mempunyai kebergantungan tinggi kepada kebolehan pembekal setempat dan peningkatan keupayaan syarikat automotif dapat dikongsi bersama di antara kesemua pengeluar kenderaan di Malaysia dan di rantau ASEAN,” katanya.

Berita Harian X