Isnin, 15 Oktober 2018 | 6:30pm

Jualan kereta bulan September merosot

KUALA LUMPUR: Sebanyak 31,241 unit kenderaan dijual pada September, merosot 52 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA), berkata angka jualan itu disebabkan kekurangan stok yang dialami syarikat pengedar susulan permintaan tinggi ketika tempoh kadar sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, jumlah jualan pada September juga susut 23 peratus atau 9,715 unit berbanding bulan sama tahun lalu.

“Bagaimanapun, jumlah jualan dari awal tahun sehingga September 2018 adalah sebanyak 454,971, meningkat tujuh peratus berbanding 425,678 yang direkod tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah jualan pada Oktober dijangka kekal pada paras yang dicatatkan pada September disebabkan kebanyakan permintaan dipenuhi semasa tempoh cuti cukai,” katanya.

Daripada jumlah jualan yang dicatatkan pada September, kenderaan penumpang menyumbang 27,022 unit, manakala komersial 4,219 unit.

Dari segi pengeluaran pula, industri menghasilkan 37,000 unit kenderaan pada September, dengan 33,436 unit adalah kenderaan penumpang, manakala komersial 3,564 unit.

Jumlah pengeluaran September pula adalah lebih rendah berbanding 38,213 unit pada September 2017.

Berita Harian X