Rabu, 26 September 2018 | 11:22am

Perodua buka pusat badan dan cat di Kelantan

KOTA BHARU: Perodua memperkenalkan pusat Badan Kenderaan dan Cat (B&P) ke-66 di sini bagi memenuhi keperluan pelanggan di pantai timur

Pusat baharu yang bernilai RM2 juta ini dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh pengedar Perodua, Nasrom (M) Sdn Bhd.

"Kami mengiktiraf dan menghargai pelaburan yang dibuat oleh Nasrom (M) Sdn Bhd serta komitmen mereka dalam memenuhi keperluan pelanggan Perodua," kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin.

Zahari berkata Perodua akan terus menambah baik kemudahan B&P sedia ada atau mewujudkan kemudahan baharu bagi memenuhi keperluan lebih 3.2 juta pemilik kenderaannya di seluruh negara.

"Di samping meningkatkan kemudahan kepada pelanggan kami, kemudahan baharu ini juga membuktikan komitmen Perodua dalam mengembangkan ekosistem automotif tempatan, terutama pengedar bebas seperti Nasrom (M) Sdn Bhd.

"Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab Perodua sebagai syarikat kereta nasional," katanya dalam satu kenyataan.

Terletak di kawasan seluas 17,000 kaki persegi, kemudahan B&P baharu ini mampu membaiki sehingga 1,080 kereta setahun.

Pengarah Urusan Nasrom, Ab Alim@Ab Halim Hassan, berkata dengan kemudahan baharu itu, pelangga akan dijamin dengan mutu kerja yang berkualiti dan alat ganti yang tulen dalam proses membaiki kereta mereka.

“Kakitangan kami yang sah akan turut membantu dalam proses tuntutan insurans.

:Kami amat memahami bahawa membaiki kenderaan amat memberi tekanan, namun begitu kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan pengalaman anda dengan kami menjadi mudah dan menyenangkan," katanya.

Dilantik sebagai pengedar sah Perodua sejak 1994, Nasrom (M) Sdn Bhd turut mengendalikan cawangan 1S (jualan) dan cawangan 2S (servis dan alat ganti), kedua-duanya di Kubang Kerian.

Daripada 66 buah pusat B&P Perodua di seluruh negara, tujuh berada di Pantai Timur, meliputi kawasan Kuala Terengganu, Kemaman, Kuantan, Jerantut dan Kota Bharu.

Berita Harian X