Rabu, 29 Ogos 2018 | 6:27pm

Vario 150 sandaran tingkatkan penguasan pasaran motosikal Honda

PETALING JAYA: Boon Siew Honda Sdn Bhd, pemasang dan pengedar motosikal jenama Honda di negara ini menyasarkan jualan sebanyak 1,000 unit sebulan untuk motosikal skuter terbaharu Honda Vario 150.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Keiichi Yasuda, berkata sasaran itu didorong melalui peningkatan minat pelanggan dalam segmen motosikal transmisi automatik (AT) berkuasa lebih tinggi di Malaysia yang semakin berkembang.

“Motosikal yang dilengkapi dengan ciri-ciri terkini, gaya sporty, prestasi enjin responsif serta harga berpatutan ini adalah pilihan ideal dan akan menjadi laras terbaharu dalam pasaran segmen skuter tempatan serta dapat meningkatkan penguasaan pasaran motosikal Honda yang kini pada sekitar 30 peratus,” katanya pada majlis pelancaran motosikal skuter Honda Vario 150 di sini, hari ini.

Model pemasangan tempatan itu dikuasakan enjin 150 cc silinder tunggal empat lejang dengan teknologi Enhanced Smart Power (eSP) yang mampu menjana kuasa 13.1PS pada 8,500 rpm dan daya kilas 13.4Nm pada 5,000 rpm serta turut dilengkapi Sistem Brek Combi (CBS) dan Sistem Henti Melahu (Idling Stop/ISS) bagi prestasi dan penjimatan bahan api.

Untuk rekaan, ia didatangkan dengan lampu hadapan berkembar dan belakang LED, panel meter LCD digital, Sistem Kunci Pintar Honda, Peredam Sporty, Rim Sporty bersaiz 14 inci serta ruang simpanan di bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter.

Didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu hitam mutiara, biru mutiara, perak metalik dan edisi Repsol, Vario 150 dijual pada harga RM7,199 dan RM7,399 (edisi Repsol) boleh didapati di semua pengedar sah Boon Siew Honda di seluruh negara mulai hari ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Yasuda berkata, 99 peratus daripada jualan motosikal Honda adalah di bawah 250 cc yang dikecualikan daripada cukai itu dan tidak terlalu terjejas dengan kenaikan harga.

“Namun, komponen yang digunakan untuk pengeluaran motosikal di bawah 250cc akan dikenakan SST dan kami sedang meniliti kos sebenar dan dijangka berlaku sedikit peningkatan tapi dalam nilai yang kecil.

“Untuk pasaran motosikal berkuasa tinggi Honda adalah diimport sepenuhnya dari Jepun dan Thailand di mana ia akan menerima kesan daripada SST ini dengan harga jualan perlu dikaji semula,” katanya.

PENGARAH Urusan, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. Keiichi Yasuda (empat dari kanan) dengan melancarkan Honda Varion 150 di Royale Chulan Damansara. - Foto Saifullizan Tamadi
PENGARAH Urusan, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. Keiichi Yasuda (empat dari kanan) dengan melancarkan Honda Varion 150 di Royale Chulan Damansara. - Foto Saifullizan Tamadi
Berita Harian X