Khamis, 16 Ogos 2018 | 4:10pm
PASARAN automotif tempatan merekodkan jualan kedua tertinggi dalam sejarah apabila menjual 68,465 unit pada Julai 2018. - Foto hiasan
PASARAN automotif tempatan merekodkan jualan kedua tertinggi dalam sejarah apabila menjual 68,465 unit pada Julai 2018. - Foto hiasan

TIV bulanan kedua tertinggi dalam sejarah

KUALA LUMPUR: Pasaran automotif tempatan merekodkan jualan kedua tertinggi dalam sejarah apabila menjual 68,465 unit pada Julai 2018.

Jumlah itu kurang 906 unit berbanding rekod jualan keseluruhan industri (TIV) tertinggi negara iaitu 69,371 unit yang direkodkan pada Disember 2015.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan, mendedahkan jumlah jualan bulan lalu itu juga, 41 peratus atau 19,912 unit lebih tinggi berbanding bulan sama tahun lalu.

Bagi perbandingan bulanan, TIV pada Julai adalah enam peratus atau 3,963 unit lebih tinggi berbanding 64,502 unit yang diraih pada Jun.

“Jumlah jualan yang lebih tinggi pada Julai disokong pengurangan harga kenderaan berikutan pelaksanaan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST),” kata MAA.

Mengikut segmen, kenderaan penumpang mencatat jualan 61,211 unit pada Julai berbanding 57,744 unit pada Jun dan 43,524 unit pada Julai 2017.

Jumlah jualan kenderaan komersial juga mencatat peningkatan apabila 7,254 unit berjaya dijual bulan lalu, berbanding 6,758 unit pada Jun dan 5,029 unit pada Julai 2017.

Dari segi jumlah pengeluaran industri (TPV) pula, pasaran automotif negara mengeluarkan 55,164 unit kenderaan pada Julai, iaitu 15,799 unit lebih tinggi berbanding Jun (39,365 unit) dan 11,212 unit lebih banyak daripada Julai 2017 (43,952 unit).

Kenderaan penumpang menguasai lebih tiga perempat TPV, apabila mencatatkan pengeluaran 51,165 unit pada Julai, 14,786 unit lebih tinggi berbanding Jun dan 10,673 unit lebih baik daripada Julai 2017 (40,492 unit).

Kenderaan komersial pula mencatatkan sedikit peningkatan dalam TPV dengan 3,999 unit, berbanding 2,986 unit bulan sebelumnya dan 3,460 unit pada Julai tahun lalu.

MAA menjangkakan, jumlah jualan pada Ogos juga diunjurkan kekal pada paras jualan Julai dibantu faktor pengurangan harga berikutan kadar sifar GST.

Berita Harian X