Selasa, 17 Julai 2018 | 8:06pm
HIPER-NAKED paling berkuasa pernah dikeluarkan. - Foto Hafiz Sohaimi
HIPER-NAKED paling berkuasa pernah dikeluarkan. - Foto Hafiz Sohaimi

Yamaha MT-10 tangkas, menawan

JIKA anda berpengalaman menunggang motosikal berkuasa tinggi, tentunya anda tahu antara yang paling diinginkan adalah kuasa, tork dan ketangkasan.

Tiga perkara inilah yang terdapat pada Yamaha MT-10, iaitu model hiper-naked yang dikatakan paling berkuasa yang pernah dikeluarkan oleh Yamaha.

Meskipun model ini belum lagi dibawa masuk oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) ke Malaysia, BH Auto berpeluang menunggang uji MT-10 yang dikhususkan untuk media dan boleh disifatkan ia adalah antara model yang mantap dikeluarkan oleh Yamaha selepas YZF-R1.

Selain penampilan dan reka bentuk yang 'nakal' gaya agresif, terlalu banyak elemen pada model ini yang memberi keseronokan tunggangan.

Paling utama adalah, MT-10 dipacu enjin crossplane 998cc yang mana penalaan tork lebih pada peringkat rendah hingga pertengahan; berputar di atas casis aluminium Deltabox yang ringan dengan jarak antara tayar depan dan belakang yang lebih pendek - membolehkan ia menghambur kuasa yang menakjubkan dengan ketangkasan serta kawalan yang mantap.

Selesa ditunggang, ambil selekoh

Penulis menggemari keselesaan kedudukan penunggang atau ergonomik yang menegak, penghantaran tork yang mantap dan ketepatan ketika mengambil selekoh, sekali gus membolehkan ia menakluki lorong berliku dan jalan bandar serta pedalaman dengan kepuasan di setiap sudut tunggangan dalam setiap gear.

YAMAHA MT-10. - Foto Hafiz Sohaimi
YAMAHA MT-10. - Foto Hafiz Sohaimi

KEMUNCAK kuasa MT-10 adalah penggunaan enjin 4-silinder selari crossplane 998cc generasi baharu yang amat ringan berasaskan model supersport YZF-R1. - Foto Hafiz Sohaimi
KEMUNCAK kuasa MT-10 adalah penggunaan enjin 4-silinder selari crossplane 998cc generasi baharu yang amat ringan berasaskan model supersport YZF-R1. - Foto Hafiz Sohaimi

Kemuncak kuasa MT-10 adalah penggunaan enjin 4-silinder selari crossplane 998cc generasi baharu yang amat ringan berasaskan model supersport YZF-R1.

Komponen utama reka bentuk enjin canggih ini adalah 'crossplane crankshaft' dan ledakan yang tidak serata. Ia berbeza dengan sebahagian besar enjin 4-silinder selari yang lazimnya menggunakan 'flateplane crankshaft.'

Enjin MT-10 menggerakkan silinder 1,3,2,4 dengan turutan ledakan tidak seragam iaitu pada 270 / 180/ 90 / 180 darjah. Ini membolehkan penghasilan tork setangkas mungkin setiap kali pendikit digerakkan.

Kebangkitan kuasa tulen baharu

Rangka aluminium konfigurasi Deltabox memberi penangan mantap dari segi kawalan meskipun ditunggang dengan agresif. Rim 17 inci dipadankan dengan tayar yang lebar Bridgestone Hypersport S20 120/70 pada roda hadapan dan 190/55 di belakang, menggigit tar dengan padu walaupun ketika jalan basah.

Dalam pada itu, kuasa henti Sistem Brek Cegah Kunci (ABS) pada model ini yang dipadankan dengan komponen brek spesifikasi tinggi berfungsi dengan amat baik, sekali gus meningkatkan keyakinan kepada penunggang dalam berdepan pelbagai kemungkinan.

YAMAHA MT-10 antara model yang mantap dikeluarkan oleh Yamaha selepas YZF-R1. - Foto Hafiz Sohaimi
YAMAHA MT-10 antara model yang mantap dikeluarkan oleh Yamaha selepas YZF-R1. - Foto Hafiz Sohaimi

YAMAHA MT-10. - Foto Hafiz Sohaimi
YAMAHA MT-10. - Foto Hafiz Sohaimi

Dari segi komponen bantuan tunggangan, MT-10 turut dilengkapi Pendikit Kawalan Cip Yamaha (YCC-T) iaitu sistem pendikit ride-by-wire, iaitu setiap gerakan pendikit akan disalurkan dengan isyarat digital daripada transponder kepada ECU. Susulan itu setiap kali pendikit dipulas meskipun dengan kuat dan agresif sekalipun maka respons enjin adalah pantas dan tepat.

Ada tiga mod tunggangan, D-Mode, disediakan pada MT-10 yang mana amat mudah ditukar dengan hujung jari, manakala alat kawalan tunggangan menjadikan tunggangan di jarak jauh di atas lebuh raya lebih selesa dan kurang memenatkan.

Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) boleh laras pula membantu penunggang mengawal motosikal dalam apa juga keadaan jalan raya.

Kesimpulannya, jika anda penunggang berpengalaman yang mahukan tunggangan agresif dan tangkas, MT-10 mungkin model yang terbaik kerana ia menawarkan tahap kuasa dan prestasi pada aras tinggi. Namun begitu, penulis berpendapat, model seperti ini agak kurang sesuai untuk penunggang baharu dan kurang pengalaman.

YAMAHA MT-10 dipacu enjin crossplane 998cc. - Foto Hafiz Sohaimi
YAMAHA MT-10 dipacu enjin crossplane 998cc. - Foto Hafiz Sohaimi

Spesifikasi Yamaha MT-10

  • Enjin: 998cc, 4-Silinder Selari, DOHC, Sejukan Cecair, 16 Injap

  • Sistem bahan api: Suntikan dengan YCC-T
  • Transmisi : 6-kelajuan; Klac Slipper
  • Kuasa maksimum: 160.4 hp (119.6 kW) pada 11,500 rpm
  • Tork maksimum: 111 Nm (81.9 ft-lbs) pada 9,000 rpm
  • Casis: Deltabox
  • Suspensi depan: Fork Teleskopic
  • Suspensi belakang: Monoshock
  • Ketinggian: 1110 mm
  • Aras kelegaan tanah: 130mm
  • Kapasiti tangki: 17 liter
  • Berat: 210kg
Berita Harian X