Khamis, 5 Julai 2018 | 7:00am
TUNGGANG KTM RC390 2017 bagai di litar Moto3.
TUNGGANG KTM RC390 2017 bagai di litar Moto3.

Genetik supersport tulen

REKA bentuk motosikal supersport tulen dengan gaya yang ringkas dan hanya menampilkan kelengkapan yang benar-benar diperlukan menyerlahkan ciri genetik perlumbaan Moto3 yang dimilikinya.

Itu adalah antara yang dapat BH Auto simpulkan selepas menunggang uji KTM RC390 2017 baru-baru ini. Model ini memasuki pasaran tempatan pada Oktober lalu.

Motosikal sport kecil dan ringan semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat mesin dua roda. Susulan itu, pengeluar motosikal kini bersaing untuk meningkatkan keupayaan enjin, casis dan suspensi pada model terkini keluaran masing-masing yang mana KTM RC390 2017 adalah antara yang mendapat sentuhan terkini.

Penulis menggemari RC390 terbaharu ini kerana ia amat mudah dikawal, selain amat selesa ditunggang dengan kelajuan maksimum 170 kilometer sejam (km/j).

Secara umumnya, model ini dipacu dengan enjin Euro4 373 cc, satu silinder, konfigurasi rangkaian injap DOHC berkemampuan menjana kuasa 44 hp pada rpm 9500 dan tork 36Nm pada rpm 7,250.

Ia adalah angka prestasi terbaik bagi motosikal satu silinder yang disahkan boleh ditunggang di jalan raya oleh pihak berkuasa.

Tunggangan selesa

Meskipun ergonomik atau posisi menunggang tentunya lebih ke arah 'supersport' dengan cara duduk yang agresif, ia selesa sebagai tunggangan harian untuk jarak dekat dan sederhana.

Palang pemegang yang lebar dan juga tinggi, dirasakan memudahkan penunggang mengambil selekoh serta menyelusup di celah-celah kesesakan trafik.

Pendikit pula yang dilengkapi teknologi 'ride-by-wire' memberi respons serta-merta dan lancar, lebih mudah meskipun tanpa kabel.

Ia amat mudah dikawal, lebih-lebih lagi dengan sokongan 'slipper clutch' yang 'lembut' untuk memastikan jentera stabil ketika brek mengejut dan mengurangkan beban bila turun ke gear rendah.

Ketika model sulung RC 390 mula diperkenalkan pada 2015, ia menarik perhatian ramai bukan saja dari segi penampilan reka bentuknya, malah ia dilengkapi dengan beberapa komponen utama seperti fork terbalik WP 43 mm.

Meskipun ia tidak boleh dilaraskan, ia sesuatu yang baharu dalam segmen motosikal sport ringan.

Suspensi berkualiti tinggi WP pada model 2017 ini berfungsi dengan baik dalam menyerap hentakan serta mengekalkan kestabilan motosikal khusus ketika melungsuri jalan beralun dan mengambil selekoh.

KTM RC390 2017.
KTM RC390 2017.

Kuasa henti mantap

Yang turut dirasai adalah kuasa henti RC 390 yang mantap khususnya bagi motosikal saiz seumpamanya.

Motosikal seberat 147kg yang dipadankan dengan cakera 320mm berserta kaliper ByBre (anak syarikat Brembo) di roda hadapan dan cakera 230 mm kaliper piston tunggal, menyediakan keupayaan berhenti secara mengejut yang diyakini.

Selain itu, KTM juga mengemaskini casis pada RC 390 terkini yang mana dari segi penampilannya ia hampir menyamai rangka trellis yang ringan pada model Duke.

Rangka berkenaan menjadikan ia lebih dinamik serta meningkat radius pusingan handle hingga 66.5 darjah, justeru memudahkan kawalan dan menjadikan ia lebih selesa.

Ditetapkan pada harga asas RM28,113.21 KTM RC 390 2017 ini adalah model yang wajar menjadi antara pilihan terbaik untuk tunggangan di atas litar, kegunaan harian serta bersantai pada hujung minggu.

Spesifikasi:

Enjin: Penyejukan cecair, 4-lejang, DOHC, 4-injap, silinder tunggal

Lejang & Gerek: 72.0mm x 61.1mm

Sesaran: 373.2cc

Sistem Bahan Api: Suntikan bahan api elektronik

Kuasa Maksimum: 44hp @ 9,000rpm

Tork Maksimum: 36Nm @ 7,000rpm

Transmisi: Klac slipper PASC

Kotak Gear: 6-kelajuan

Suspensi: Fork USD WP 43mm, travel 125mm (depan); Monoshock WP, pra-beban boleh laras, travel 150mm (belakang)

Brek: Cakera tunggal 300mm, kaliper radial 1-piston (depan); Cakera tunggal 230mm, kaliper apung 1-piston (belakang); ABS Bosch MB9.1 dua saluran

Tayar: 110/70-ZR17 (depan); 150/60-ZR17 (belakang)

Rangka: Keluli trellis

Lengan Ayun: Dua belah, aluminium tempa

Jarak Roda: 1,340mm

Tinggi Pelana: 820mm

Berat Kering: 163.5kg

Kapasiti Tangki: 10 liter

Berita Harian X