Selasa, 3 Julai 2018 | 8:00am
MODEL SUV premuim paling popular.

Keunggulan Toyota Harrier 2.0T

TOYOTA Harrier yang diperkenalkan sejak tahun 1997 di pasaran domestik Jepun, tidak pernah kalah dari segi gaya dan reka bentuk.

Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) yang menjadi antara model premium paling popular ini sebenarnya menjadi pencetus dalam penambahbaikan untuk segmen SUV saiz pertengahan.

Selepas lebih dua dekad tercipta, akhirnya UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota) selaku pengedar rasmi Toyota di negara ini memperkenalkan Harrier 2.0T terbaru sarat dengan pelbagai teknologi terkini.

Apa tidaknya, reka bentuk yang ditawarkan untuk model baharu Toyota Harrier ini bukan saja mewah, malah kelihatan lebih bertenaga serta memenuhi aspirasi golongan profesional.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji Toyota Harrier 2.0T Luxury, sekali gus menamatkan penantian selepas sekian lama menunggu giliran memandangkan model ini mendapat permintaan tinggi daripada rakan media lain.

Terdahulu, model mewah ini mula dipertontonkan kepada umum tahun lalu ketika Malaysia Autoshow 2017 dengan dua varian ditawarkan termasuk 2.0T Premium.

Rekaan moden

Melihat bentuk luarannya, pembaharuan dilakukan Toyota berjaya menambat hati mereka yang inginkan jentera moden yang berkuasa.


TOYOTA Harrier 2.0T memenuhi aspirasi golongan profesional. - Foto Asyraf Hamzah

Lihat saja bahagian hadapan yang tirus dengan padanan perumah lampu utama lebih nipis, menjadikannya lebih sporty.

Bahagian hadapan terserlah logo Harrier manakala bampar hadapan menempatkan gril bagi kemasukan udara ke ruang enjin selain diapit sepasang lampu nyalaan siang (DRL).

Bahagian belakang pula kekal menarik apabila perumah lampu belakang direka lebih cantik, jelas membezakan statusnya sebagai SUV premium.

Lebih menarik, lampu isyarat membelok hadapan didatangkan dengan ciri cahaya berturutan (sequential) yang kebiasaannya dimiliki jentera buatan Eropah.

Bumbung suria panoramik melengkapkan ciri eksklusif model ini dan difahamkan, ciri berkenaan hanya boleh ditemui melalui varian yang dibawa masuk UMW Toyota.

Untuk masuk ke ruang kabin hanya memerlukan 'pemegang kunci pintar' menyentuh tombol pintu selain enjin bersedia untuk dihidupkan dengan hanya menekan butang penghidup enjin.

Ruang kabin mewah

Ruang dalaman sarat dengan elemen mewah dan ia lebih menonjol apabila tempat duduk kulit latar hitam berjalur benang merah.


SARAT teknologi terkini. - Foto Asyraf Hamzah

Sistem elektronik banyak mempengaruhi ruang dalamannya seperti pengubah kedudukan stereng mahupun tempat duduk dengan tiga mod memori.

Tiada butang kawalan pada papan pemuka melainkan skrin sentuh menempatkan butang kawalan pendingin hawa berteknologi NanoE dan sistem DVD-AVX bersaiz tujuh inci memaparkan navigasi, audio dan kamera undur.

Sistem audio ini juga membolehkan pemandu menyambungkan telefon pintar mereka menggunakan aplikasi Bluetooth selain capaian Internet dan Wi-Fi.

Istimewa model Harrier 2.0T adalah ini, liang udara pada kerusi hadapan mengeluarkan hawa dingin, menjadikan pemandu dan penumpang berasa selesa sepanjang perjalanan.

Meter berwarna LCD penuh dengan paparan ciri info menjadikan pemandu lebih peka terhadap pemanduan.

Ruang barangan pula dikawal dengan satu butang kawalan yang membolehkan but belakang dibuka atau ditutup secara automatik.

Sepanjang pemanduan, ruang kabin sangat senyap sehingga langsung tidak kedengaran sebarang bunyi desiran angin melainkan gema alunan muzik daripada enam pembesar suara yang mantap.


TOYOTA Harrier ini mampu menghamburkan kuasa 231 PS pada 5,200 hingga 5,600 rpm manakala tork 350 Nm pada 1,650 hingga 4,000 rpm. - Foto Asyraf Hamzah

Jentera 2.0L

Dengan rangkaian kuasa 2.0L Twin-scroll Turbocharged 16V DOHC VVT-iW&D-4ST, Toyota Harrier ini mampu menghamburkan kuasa 231 PS pada 5,200 hingga 5,600 rpm manakala tork 350 Nm pada 1,650 hingga 4,000 rpm.

Pemanduan lebih menyeronokkan apabila, jentera ini didatangkan dengan tiga mod ditawarkan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Dengan gabungan transmisi Super ECT enam kelajuan, ia menjadikan model ini cukup lengkap bagi mereka yang mahukan sebuah SUV mewah dan bertenaga.

Fungsi paling diminati penulis pastinya, Adaptive Cruise Control (ACC) with Dynamic Radar Technology di mana auto cruise pintar ini membolehkan kereta ini yang ditetapkan pada kelajuan 110 kilometer sejam (km/j) mengesan kenderaan di hadapan penulis lebih perlahan.

Sistem pintar ini juga berkait rapat dengan sistem Lane Keeping Assist (LKA) dan Lane Departure Alert (LDA) bertujuan memberi amaran awal kepada pemandu sekiranya 'terkeluar' daripada laluan atau ada halangan di hadapan.

Selain itu, teknologi Pre-Crash System (PCS) membantu pemandu memberhentikan kenderaan lebih cepat apabila radar mengesan halangan di hadapan.

Ciri keselamatan terbaik

Toyota Harrier yang dipandu uji penulis ditawarkan dengan tujuh beg udara, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TC), Bantuan Kawalan Mula Mendaki (HAC), Pengedaran Tekanan Brek Elektronik (EBD), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan ISOFIX sebagai ciri standard.


MODEL mewah ini mula dipertontonkan kepada umum tahun lalu ketika Malaysia Autoshow 2017 dengan dua varian ditawarkan termasuk 2.0T Premium. - Foto Asyraf Hamzah

Sebenarnya, wujud perbezaan nyata di antara model dibawa masuk oleh UMW Toyota dan pemegang permit import (AP) walaupun kelihatan hampir sama.

Toyota Harrier 2.0T diedarkan UMW Toyota didatangkan dengan enjin dicas turbo bersama transmisi enam kelajuan Super ECT manakala pemegang AP hanya menawarkan enjin 2.0L tanpa turbo dengan transmisi CVT.

Perbezaan lain paling ketara adalah ketiadaan lampu utama LED, DRL, lampu isyarat Sequential, ruang dalaman kulit Nappa premium, bumbung panoramik, butang brek parking elektronik dan pastinya sistem keselamatan termaju daripada Toyota.

Paling penting, UMW Toyota menawarkan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Toyota Harrier 2.0T Luxury ditawarkan pada harga RM245,233 (sifar GST tanpa insurans), manakala bagi varian 2.0T Premium ditawarkan pada RM224,573 (sifar GST tanpa insurans).

Info:
Toyota Harrier 2.0T Luxury

  • Enjin 1,998cc empat silinder 16V DOHC Twin-scroll Turbocharged VVT-iW&D-4ST
  • Transmisi Super ECT 6-kelajuan
  • 231 PS @ 5,200-5,600 rpm
  • Tork maksimum 350 Nm @ 1,650-4,000 rpm
  • Ciri keselamatan : 7 beg udara, ACC with Dynamic Radar Technology, LKA, LDA, PCS, ABS, BA, VSC, TC, HAC, EBD, ESS dan ISOFIX
  • Warna: Putih Mutiara Crystal Shine, Hitam Mutiara Sparkling Crystal Shine, Perak Metalik dan Biru Mica Metalik.
Berita Harian X