Ahad, 17 Jun 2018 | 3:48pm

Vendor Proton perlu tingkatkan teknologi hijau

KUALA LUMPUR: Dalam usaha vendor Proton menaik taraf kepada pusat 4S, mereka perlu menumpukan kepada teknologi baharu dan mengeluarkan bahagian bagi kereta elektrik dan kenderaan hijau.

Pakar ekonomi terkemuka, Dr Yeah Kim Leng, berkata langkah itu sejajar dengan rancangan Geely, rakan kongsi strategik asing Proton untuk menjadi pengeluar kereta elektrik nombor satu di China.

"Jika mereka (Geely) boleh memindahkan sebahagian daripada teknologi, ia akan menjamin masa depan yang baik bagi Malaysia, apatah lagi sekiranya mereka menjadikan negara ini hab pengeluaran bagi menembusi pasaran ASEAN," katanya.

"Kerjasama Proton-Geely juga adalah satu langkah strategik memandangkan industri kereta yang sangat kompetitif ketika ini.

"Selain keupayaan kewangan yang kukuh, pengeluar kereta terkemuka China ini juga mempunyai keupayaan teknologi yang penting," katanya dalam satu temu bual bersama media hari ini.

Kim Leng berkata, hanya pemain global boleh meneruskan kelangsungan hidup dalam pasaran kenderaan yang semakin kompetitif.

Sebaliknya, tambah beliau, syarikat kecil dan khusus serta syarikat kereta nasional akan berdepan cabaran amat sukar kerana mereka tidak mempunyai ekonomi yang menumpukan kepada bidang tertentu.

"Apa yang lebih penting, mereka tidak mempunyai keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau kewangan yang kukuh untuk terus melabur dalam R&D serta menambah baik reka bentuk kereta.

"Sudah tentunya dalam usaha ke arah penggunaan teknologi baharu, kenderaan elektrik pada masa depan dan hibrid daripada enjin pembakaran dalaman adalah sangat penting," kata Kim Leng.

Bagi vendor dan pengeluar kereta, tegas beliau, melainkan mereka menyesuaikan diri dan menambah baik teknologi, terutama sejajar dengan perubahan trend ke arah kenderaan hijau, masa depan boleh dianggap pesimis.

Tambah beliau, cara untuk berjaya adalah dengan bertukar kepada kereta elektrik dan cekap tenaga di mana trend ke arah kenderaan elektrik jelas kelihatan di Eropah dan hanya menunggu masa saja sebelum ia menular di China.

Kim Leng berkata, hakikatnya semakin terserlah kerana China sudah pun memulakan pembuatan kereta elektrik secara besar-besaran.

Bagi Malaysia dan Proton, beliau berkata, lebih cepat mengikuti trend itu bermakna akan lebih besar potensinya kepada negara untuk muncul sebagai hab pembuatan serantau bagi syarikat global.

Antara faktor kejayaan kritikal, kata beliau, mereka (vendor) perlu mempunyai rangkaian pengedaran yang sangat kukuh, bukan hanya dari segi jualan, tetapi juga dari segi penyelenggaraan dan memastikan semua jaminan dipenuhi supaya kepuasan pelanggan menjadi keutamaan nombor satu dalam industri kereta.

Bagi mengekalkan nilai jualan semula, katanya, perkhidmatan sokongan dan rangkaian kukuh adalah suatu yang penting.

"Proton melakukan perkara yang betul dengan mengukuhkan rangkaian pengedarannya, menaikkan tarafnya menjadi bilik pameran yang menjadi pilihan pembeli kereta yang berpotensi.

"Prasyarat penting adalah kebolehpercayaan, kos pengeluaran rendah dan harga kompetitif bagi menarik pembeli kereta.

"Kami difahamkan bahawa kos pengeluaran, terutamanya bagi model kereta China, sebenarnya satu pertiga lebih rendah dari segi kos pengeluaran selain mempunyai ciri-ciri canggih," katanya.

Menurutnya, Proton akan mempunyai masa depan yang sangat baik sekiranya ia boleh menyerap sebahagian daripada teknik pengeluaran itu dan kemajuan teknologi untuk mengurangkan kos mereka serta menawarkan insentif lebih berdaya saing.

Dengan semua ciri-ciri menarik itu, Kim Leng berkata Proton boleh kembali meraih kegemilangannya termasuk meningkatkan permintaan daripada kelas pertengahan dan menggunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk menembusi pasaran ASEAN. - BERNAMA

Berita Harian X