Selasa, 12 Jun 2018 | 9:00am
RENAULT Captur kini ditawarkan dalam rangkaian perkongsian kenderaan GoCar.
RENAULT Captur kini ditawarkan dalam rangkaian perkongsian kenderaan GoCar.

Renault Captur sertai GoCar

TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia bakal menyediakan 150 unit Renault Captur kepada GoCar, peneraju platform perkongsian kereta berdasarkan permintaan di negara ini.

Ini sekali gus menjadikan kenderaan GoCar kini berjumlah 450 unit di atas jalan raya.

Usaha sama itu diumumkan baru-baru ini dalam satu acara penyerahan di ibu pejabat TCEC di Petaling Jaya yang menyaksikan 50 unit pertama Renault Captur diserahkan kepada GoCar.

Menurut TCEC, baki 100 unit crossover kompak itu akan diserahkan secara berperingkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menerusi perkhidmatan GoCar, Renault Captur ditawarkan pada kadar RM18.90 sejam, RM189 sehari, RM1,323 seminggu atau RM5,670 sebulan.

Perlu muat turun aplikasi

Untuk mengakses perkhidmatan itu, orang ramai hanya perlu memuat turun aplikasi mudah alih GoCar dan mendaftar sebagai ahli.

Selepas menerima pengesahan, pengguna boleh membuat tempahan dengan mudah serta mengunci, membuka dan menghidupkan Captur menggunakan aplikasi mudah alih GoCar.

Renault Captur dikuasakan enjin pengecas turbo TCe 120 Renault yang dipadankan dengan transimis Efficient Dual Clutch (EDC) enam kelajuan dan ia turut menerima pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang mampu menawarkan prestasi dan pecutran seperti enjin aspirasi biasa bersesaran 1.8 liter.

Sempena penyertaan Renault Captur, GoCar menawarkan promosi diskaun sebanyak RM30 kepada ahli dengan tempahan minimum 10 jam menerusi kod promo khas 'GOCARCAPTUR'.

Promosi itu bermula 24 Mei hingga 31 Disember 2018.

INFO

  • 150 unit Renault Captur disediakan
  • RM18.90 sejam
  • RM189 sehari
  • RM1,323 seminggu
  • RM5,670 sebulan
Berita Harian X