Jumaat, 18 Mei 2018 | 4:31pm
Renault Captur.
Renault Captur.

Renault Captur baharu ke pasaran tempatan

KUALA LUMPUR: TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia, baru-baru ini melancarkan crossober terbarunya, Renault Captur untuk pasaran tempatan.

Ia kini tampil dengan reka bentuk luaran yang lebih sporty dan menonjol menerusi warna dua tona baharu serta didatangkan ruang kabin lebih kemas serta berkualiti tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif TCEC, Kuan Kim Luen, berkata Captur baharu itu ditawarkan menerusi pilihan empat warna iaitu Flame Red (merah), Atacama Orange (oren), Ocean Blue (biru) dan Peral White (putih) yang dipadankan dengan bumbung Diamond Black (hitam).

"Ia dijual pada harga RM109,000 (tanpa insurans) dengan tambaharn RM900 untuk pilihan warna Flame Red dan White Pearl.

"Captur baharu itu menawarkan penjimatan bahan api lebih cekap, malah dikitraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) dan dipasang secara tempatan di kilang di Segambut," katanya.

Dikuasakan enjin pengecas turbo TCe 120 Renalut, Captur baharu itu dikatakan berupaya menawarkan preastasi dan pecutan seperti enjin 1.8L aspirasi biasa.

Dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam kelajuan, crossover itu mampu menghamburkan kuasa hingga 120 PS pada 4,900 rpm dan tork maksimum 190 Nm.

Dari segi penampilan luarannya, ia didatangkan gril yang direka semula untuk kelihatan seperti model Kadjar, malah Captur baharu itu kini menggunakan lampu nyalaan siang (DRL) LED.

Ruang dalaman diserlahkan menerusi penggunaan plastik berkualiti tinggi dan papan pemuka yang lembut. Tempat duduk dan kemasan pintu dibalut dengan gabungan kulit berwarna hitam, dan tuil gear yang direka semula.

Tempat duduk belakang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 yang menawarkan ruang but daripada 377 liter kepada maksimum 1,235 liter.

Kim Luen berkata, Captur baharu itu juga mengekalkan penjimatan bahan api sehingga 5.4 liter untuk 100 kilometer (l/km).

"Captur adalah salah satu model popular Renault dengan lebih 940,000 unit berjaya dijual di seluruh dunia sehingga kini.

"Dengan penampilan reka bentuk yang lebih bergaya, prestasi berkuasa dan standard keselamatan Eropah, kami percaya Captur baharu ini akan terus menarik perhatian," katanya.

INFO

Ciri-Ciri Standard Renault Captur

- Kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, dengan fungsi kunci automatik

- Kunci pintu automatik

- Lampu utama dan pengesan hujan automatik

- Kamera undur

- Sistem navigasi

- Mode ECO dengan penjimatan bahan api tambahan sehingga 10 peratus

- Lantai but multi posisi yang versatil

- Ruang pada pintu yang boleh menempatkan botol minuman 1.5 liter

- Empat beg udara bercekapan tinggi - dua di hadapan dan dua di bahagian kepala/thoraks

- Electronic Stability Control (ESC)

- Hill Start Assist (HSA)

- ABS dengan Electronic Brake Assist (EBA) dan Electronic Brakeforce Distribution (EBD)

Berita Harian X