PUSINGAN akhir Toyota Gazoo Racing Malaysia (TGR) 2018 melabuhkan tirai di Taman Teknologi Malaysia (TPM), Sungai Besi, Kuala Lumpur dengan penuh warna warni dengan acara paling mendapat perhatian adalah perlumbaan Vios Challenge.
Seperti diramal, pelumba negara yang juga Raja Drift, Tengku Djan Lee Tengku Mahaleel, menepati jangkaan apabila mengungguli kategori Super Sporting dalam perlumbaan Vios Challenge musim pertama.
Perlumbaan sempena festival TGR menyaksikan semua pelumba memberi sepenuh komitmen untuk merebut gelaran juara sulung pada perlumbaan Vios Challenge.
Tengku Djan Lee menewaskan dua pencabarnya, William Ho di tempat kedua, manakala pelumba ST Wangan Racing Team, Boy Wong tempat ketiga.
Perlumbaan mendebarkan
Selain perlumbaan membabitkan pelumba profesional, paling mencuri tumpuan adalah kategori Promotional yang membabitkan selebriti tempatan.
Walaupun Shukri Yahaya berjaya meraih kedudukan podium ketika perlumbaan terakhir, kemenangan itu gagal menggugat Shawn Lee yang selesa menduduki tempat teratas dari segi pungutan mata keseluruhan.
Tempat ketiga diraih Danny Khoo selepas Shukri Yahaya menambah kedudukan mata untuk berada di tangga kedua bagi kategori berkenaan.
Kategori promotional turut disertai Janna Nick, Fattah Amin, Diana Danielle, Geraldine Gan dan Venice Min.
Pelumba pasukan Dream Chaser, Brendan Paul Anthony mencatat nama sebagai pemenang musim pertama kategori Sporting, menewaskan pelumba pasukan Tedco Racing, Brandon Lim Boon Yew dan Kenneth Koh Keik Lun daripada Panglima City Racing Team.
Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran, berkata Vios Challenge pernah disifatkan sebagai sebuah projek perlumbaan yang bercita-cita tinggi dianjurkan oleh syarikat pengeluar kenderaan di Malaysia.
Katanya, usaha untuk membawakan perlumbaan akar umbi kepada khalayak yang lebih luas itu kini terbukti berjaya mencapai matlamatnya.
"Vios Challenge diadakan dengan tujuan untuk membawa sukan permotoran lebih dekat kepada warga Malaysia. Kami inginkan lebih ramai individu yang menghargai sukan lumba dalam persekitaran yang selamat di samping menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan yang dapat dialami seisi keluarga.
"Melihat daripada wajah dan sambutan pengunjung di setiap lokasi, saya percaya kami berjaya membawakan acara yang unik dan menarik kepada orang ramai," katanya.
Ini dapat dilihat daripada sambutan oleh pengunjung di Kuala Lumpur dan juga perlumbaan terdahulu di Batu Kawan, Pulau Pinang; MAEPS, Serdang dan Medini City, Johor Bahru.
Vios Challenge menjadi acara utama hujung minggu dengan hampir 40 jentera Toyota Vios berspesifikasi sama bersaing di dalam tiga kategori berasingan iaitu; Sporting, Super Sporting dan Promotional.
Purata kehadiran pengunjung di setiap lokasi ialah 21,000 orang bagi setiap hujung minggu ia berlangsung, sekali gus menjadikannya sukan lumba paling popular dan melakar sejarahnya yang tersendiri.
Tidak diragukan lagi, kualiti perlumbaan yang ditampilkan juga adalah sangat tinggi, tidak kira bagi kategori mana sekalipun.
Info:
Kedudukan keseluruhan kategori Sporting
1. Brendan Paul Anthony
2. Brendon Lim Boon Yew
3. Kenneth Koh Keik Lun
4. Patrick Tam
5. Ken KH Foo
6. Wong Chin Eeg
7. Jackson
8. Clement Yeo Ing Chai
9. Frederick Soo Wei Keong
10. Teoh Khai Lin
11. Andrew
12. Goh Eng Peng
13. Adzeem Eqwan Adnan
14. Ng Hon Leong
15. Ricky
16. Goh Kian Sin
17. Shanmuganathan A/L Arumugam
18. Tan Su Tiek
19. Geraldine Darlene Read
20. Goh Chok Tong
21. Eric Yong
Kedudukan keseluruhan kategori Promotional
1. Shawn Lee
2. Shukri Yahaya
3. Danny Koo
4. Fattah Amin
5. Akio Takeyama
6. Diana Danielle
7. Geraldine Gan
8. Janna Nick
9. Venice Min
10. Masaaki Murata
Kedudukan keseluruhan kategori Super Sporting
1. Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel
2. William Ho
3. Boy Wong
4. Shafiq Ali
5. Ser Meng Hui
6. Mark Darwin A/L Partap Singh
7. Kenny Lee Wan Yuen
8. Mitchell Cheah
9. Keifli Othman
10. Rocky Siow
11. Vincent Ng
12. Akina Teo
13. Freddie Ang Ding Yu
14. Ong Chee Yong
15. Datuk Mohd Nasri Md Said
16. Lim Chun Beng
17. James Veerapen