Rabu, 21 March 2018 | 2:28pm
KETUA Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl pada majlis pelancaran BMW X2 di Greyhound Cafe, Hotel Ansa, Bukit Bintang. - Foto Halimaton Saadiah
KETUA Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl pada majlis pelancaran BMW X2 di Greyhound Cafe, Hotel Ansa, Bukit Bintang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

BMW perkenal X2 sDrive20i

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia Sdn Bhd melancarkan model dalam segmen kompak premium, Sports Activity Coupes yang pertama iaitu BMW X2 sDrive20i di Kuala Lumpur hari ini.

Kenderaan yang mula diperkenalkan melalui model konsep ketika Pameran Motor Paris 2016 itu kini sudah berada dalam pasaran, tampil bergaya dengan rekaan yang sporty dan moden.

Dikuasakan dengan enjin 1,998 cc KuasaBerkembar Turbo ia mampu menghemburkan kuasa kuda 192 PS pada 5,000 hingga 6,000 rpm serta daya tork 280 Nm pada 1,350 hingga 4,600 rpm.

Rekaan luaran dengan ciri eksklusif seperti gril 'ginjal' yang hanya terdapat pada model BMW 507 Roadster, logo BMW pada tiang C daripada model Coupe dan eksoz berkembar berdiameter 90 millimeter (mm) serta rim aloi 19 inci.

Ruang dalaman dengan roda stereng pelbagai fungsi dan cermin antisilau, pendingin hawa automatik dua zon, tempat duduk hadapan larasan elektrik dan ruang but daripada 470 liter hingga 1,355 liter dengan kerusi belakang dijatuhkan.

Model ini juga dilengkapi elemen BMW Connected dengan fungsi hiburan, Panggilan Kecemasan Pintar, BMW Online dan Khidmat Kawalan Jauh BMW untuk kemudahan pemandu dan penumpang pada skrin paparan sesentuh bersaiz 8.8 inci di papan pemuka.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata model BMW X menerima sambutan yang baik di negara ini terjual melebihi 4,200 unit tahun lalu.

"Model BMW X menyumbang sebanyak 39.6 peratus jualan BMW daripada jumlah keseluruhan 10,618 unit yang dicatatkan dan dengan pengenalan X2 kami jangkakan ia akan terus berkembang," katanya ketika pelancaran pagi tadi.

Model X2 juga memberi pemanduan dinamik yang mampu memecut dari sifar hingga 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 7.7 saat dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan.

Untuk pasaran Malaysia, hanya varian BMW X2 sDrive 20i M Sport ditawarkan dengan warna baru yang unik seperti Emas Galvanic, Biru Metalik Misano dan Oren Metalik Sunset dijual pada harga RM320,800 (atas jalan tanpa insurans).

Ia juga didatangkan dengan jaminan perbatuan tanpa had lima tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar BMW.

Berita Harian X