'SAYA adalah saya'. Itulah slogan pengeluar motosikal antara tertua di dunia, Moto Guzzi dalam menggambarkan Roamer V9 baharu. Pengeluar yang berpangkalan di Mandello del Lario, Itali itu mengatakan bahawa V9 adalah jelmaan baharu semangat tulen Moto Guzzi yang ditubuhkan pada 1921.
Model custom bersaiz sederhana itu menawarkan gabungan ciri asli jenama motosikal ikonik itu berserta prestasi dan ciri keselamatan moden.
Di sebalik penampilan retro ringkas, teras pada motosikal keluaran Moto Guzzi, khususnya V9 Roamer, pastinya pada enjin tradisi V-berkembar melintang 90 darjah 'timur-barat', yang menjadi keunikan motosikal ini sejak dahulu lagi.
BH Auto berpeluang menunggang uji V9 Roamer, sumbangan pengedar rasminya di Malaysia, DiDi Resources.
Rekaan gabung ciri asli, moden
Dari segi penampilan, V9 Roamer ini, meskipun ringkas, namun keunikan dari segi warna dan kehalusan reka bentuk serta kejuruteraannya menarik perhatian sesiapa sahaja yang melewati.
Lambang Moto Guzzi, di beberapa sudut, membangkit semangat 'retro biker' - 'hidup perlu ringkas' kepada penunggangnya.
V9 Roamer baharu dilengkapi enjin penyejukan udara 853cc yang menghasilkan kuasa 55hp pada rpm 6,250 dan tork 62nm pada paras rendah iaitu pada rpm 3,000. Meskipun angka berkenaan membayangkan kuasanya yang sederhana, namun dengan tork sedemikian, ia memadai untuk V9 Roamer memecut selesa, cergas dan pantas di jalan raya.
Dengan erti kata lain, enjin yang diberi nafas baharu ini menyajikan pengalaman menunggang yang lebih lancar dan pada masa yang sama mengekalkan jiwa Moto Guzzi yang tersendiri.
Semuanya serba ringkas pada model ini. Anda tidak boleh berharap untuk terlalu selesa di pelana V9 Roamer, kerana anda adalah seorang 'biker', bukannya pemandu kereta mewah seperti Mercedes. Jika anda berfikiran sebegitu, maka anda pastinya dapat memahami karakter mesin ini dengan lebih mendalam.
Melangkah naik ke pelananya, dengan kedudukan pengendalian posisi menegak berserta tempat rehat kaki pada kedudukan membengkok betis dan paha 90 darjah, motosikal setinggi 785 mm ini mencetus nostalgia motosikal era 1970an.
Ketika enjin dihidupkan, V9 Roamer menderum lunak dengan getaran tumbukan omboh ke sisi yang mengujakan, justeru menaikkan rasa ingin tahu mengenai prestasinya.
Penghantaran kuasa V9 Roamer adalah agak linear dan lancar, meskipun ketika pendikit dipulas, hendalnya mulai bergetar. Semakin kuat dipulas pendikit, getaran bergerak ke tempat duduk; dipulas lagi kuat, getaran kembali ke handel. Amat mengasyikkan.
Dari segi kawalan tunggangan, V9 Roamer adalah amat mudah dan tidak perlu usaha dan kepakaran tinggi untuk meluncur di jalan raya.
Paling menarik meskipun kedudukan lutut penunggang amat hampir dengan blok silinder enjinnya yang melintang, namun ia tidak terlalu panas meskipun lama ditunggang.
Dalam usaha menyediakan peralatan teknologi bantuan tunggangan kepada pembeli, V9 Roamer dilengkapi peralatan kawalan tunggangan boleh laras (MGCT) yang berfungsi baik khususnya ketika jalan basah.
Motosikal seberat 199 kilogram ini terasa ringan apabila ia mulai meluncur. Ia menimbulkan perasaan tenang dan tidak perlu berusaha keras mengawalnya.
Ya, model retro ini agak padat dengan teknologi terkini seperti sistem brek anti-kunci (ABS), kawalan tunggangan (TC) dan immobiliser elektronik. Namun pada pendapat penulis, rasanya adalah lebih kepada motosikal 'oldskool' dari segi tingkah lakunya.
Secara keseluruhannya, Moto Guzzi V9 Roamer jelas memiliki karakter unik, yang hanya boleh dirasai dan dinilai ketika anda menunggangnya. Jika anda adalah peminat atau mencari motosikal retro tulen pada harga sederhana, V9 Roamer adalah model 'wajib' dipertimbangkan sebelum anda membuat keputusan.
Spesifikasi:
Enjin: 853cc, V-Twin 90-darjah melintang, 4-lejang
Sistem minyak: Suntikan minyak Marelli
Kuasa: 40.4kW (55hp) @ 6250 rpm
Tork: 62Nm @ 3000 rpm
Klac: Kering, plet tunggal
Transmisi: 6-kelajuan, pacuan shaft
Suspensi: Fork teleskopik hidraulik (depan); penyerap hentakan berkembar, spring boleh laras (belakang)
Brek: 320mm disk, Brembo 4-piston kaliper (depan); 260mm disk, 2-piston kaliper (belakang); ABS
Ketinggian: 785 mm
Jarak tayar: 1,465 mm
Berat: 199 kg
Kapasiti tangki: 15 liter
Harga: RM73,900 (termasuk GST, tidak termasuk insurans dan cukai jalan)