Ahad, 20 Ogos 2017 | 9:01am

Z650 ABS memukau

PENGENALAN model 'naked' berkuasa tinggi Kawasaki Z650 ABS yang menggantikan model ER6-n menjadi titik tolak kepada Kawasaki untuk mengukuhkan kedudukan dalam segmen berkaitan.

Apa tidaknya, Kawasaki seolah-olah memahami kehendak pengguna jalan raya selain menawarkan harga model naked yang boleh disifatkan mampu dimiliki bagi mereka yang mahu berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi.

Dengan sentuhan segar dan memiliki aura tersendiri, Z650 ABS tampil dengan kerangka, enjin dan sistem suspensi yang memiliki segala-galanya yang dikehendaki penunggang.

Berdasarkan rekaan dan warna hijau yang menjadi tema kepada Kawasaki, ia jelas lebih sporty dengan konsep Sugomi yang lebih tirus agar lebih seimbang di antara gaya dan prestasi.

Lebih ranggi

Penahan angin hadapan yang 'comel' dengan penutup meter membuatkan model ini lebih ranggi, manakala bahagian pelana dengan ketinggian sekitar 790mm selesa membuatkan penulis selesa kerana kaki mudah mencapai 'tanah'.

'NAKED' terkini Kawasaki disifatkan motosikal berkuasa tinggi mampu milik. - Foto Surianie Mohd Hanif
'NAKED' terkini Kawasaki disifatkan motosikal berkuasa tinggi mampu milik. - Foto Surianie Mohd Hanif

Paling menonjol adalah lampu belakang dengan huruf Z jelas kelihatan apabila membrek yang jelas unik selain bahagian belakang lebih aerodinamik melengkapkan rekaan Z650 baru ini.

Paparan meter LCD ringkas jika dibandingkan dengan Ninja dengan gabungan analog dan digital jelas dipandang dalam apa jua keadaan.

Ketika menunggang uji, penulis dapat merasakan seakan-akan menaiki Kawasaki Z900 kerana 'keringanannya' seperti sama, cuma berbeza dari segi kuasanya.

Malah, Z650 ABS ini juga senang membelok memandangkan sudut membelok 35 darjah iaitu lebih dua darjah berbanding Ninja menjadikan ia mudah digerakkan untuk tujuan itu.

Kuasa maksimum sehingga 68PS dan daya tujahan sehingga 66 Nm sesuai ketika digunakan dalam bandar atau menyusuri lebuh raya pada kelajuan tinggi.

KAWASAKI Z650 ABS yang menggantikan model ER6-n perkukuh kedudukan dalam segmen berkaitan. - Foto Surianie Mohd Hanif
KAWASAKI Z650 ABS yang menggantikan model ER6-n perkukuh kedudukan dalam segmen berkaitan. - Foto Surianie Mohd Hanif

Tunggangan menarik

Transmisi klac enam kelajuan juga berfungsi baik daripada jenis 'assist and slipper' yang bekerja serentak mengawal bukaan dan penutup hab klac serta plat operasi bagi kelancaran berterusan.

Menjadikan tunggangan lebih menarik adalah bantuan daripada suspensi tunggal belakang yang terletak mendatar di atas lengan ayun motosikal serta 'fork' teleskop hadapan yang menyerap hentakan dengan baik.

Kuasa membrek juga dipertingkatkan dengan brek cakera berkembar hadapan 300mm dan belakang tunggal 220mm dengan angkup daripada Nissin dilengkapi dengan sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Bosch.

Sepanjang tunggang uji selama seminggu membabitkan jarak lebih 60 kilometer setiap hari, penulis merasakan Z650 ABS ini adalah jentera sesuai kepada semua peringkat umur yang ketika ini sedang berkira-kira untuk mendapatkan motosikal berkuasa tinggi pada harga mampu milik.

KAWASAKI Z650 ABS. - Foto Surianie Mohd Hanif
KAWASAKI Z650 ABS. - Foto Surianie Mohd Hanif

KAWASAKI Z650 ABS. - Foto Surianie Mohd Hanif
KAWASAKI Z650 ABS. - Foto Surianie Mohd Hanif

Info:
Kawasaki Z650 ABS

  • Harga jualan asas termasuk GST RM35,609
  • Dua pilihan warna iaitu hijau atau titanium
  • Jaminan 2 tahun atau 20,000 km yang mana lebih awal
  • Enjin 649 cc sejukan cecair empat lejang berkembar selari DOHC
  • 68 PS @ 8,000rpm
  • 65.7 Nm @ 6,500rpm
  • Transmisi 6-kelajuan
Berita Harian X