Jumaat, 4 Ogos 2017 | 4:05pm
PEKERJA mengendalikan pemasangan kereta di Geely Automobile Corporation di Cixi, Zhejiang. - Foto Reuters
PEKERJA mengendalikan pemasangan kereta di Geely Automobile Corporation di Cixi, Zhejiang. - Foto Reuters

Kereta Geely enjin Volvo keluar tahun depan

BEIJING: Syarikat Sweden, Volvo Cars yang dimiliki oleh Zhejiang Geely Holding Group (Geely) bersetuju untuk mengeluarkan enjin untuk kenderaan jenama Geely, kata beberapa orang sumber.

Perkembangan itu sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua pengeluar kenderaan yang sudah pun berkongsi teknologi menerusi jenama ketiga, Lynk & Co.

Tiga sumber yang rapat dengan Geely dan Volvo berkata, model pertama Geely yang dipasang enjin Volvo dijangka memasuki pasaran seawal hujung tahun depan sebagai kereta model tahun 2019.

Model itu akan dilengkapi dengan enjin petrol caj turbo 1.5 liter yang dibangunkan oleh Volvo untuk kereta bersaiz lebih kecil, kata individu terbabit.

Volvo dijangka berkongsi enjin 2.0 liter pada masa depan dan turut akan membenarkan kereta berjenama Geely menggunakan platform kenderaan seragam yang dibangunkan bersama oleh kedua-dua pengeluar kereta untuk Volvo dan Lynk & Co.

"Terma bagi kerjasama yang baru diumumkan antara Volvo Cars dan Geely Group bermakna teknologi sedia ada serta akan datang boleh dikongsi oleh Volvo, Geely Auto dan Lynk & Co, di bawah perjanjian pelesenan," kata seorang jurucakap Volvo.

Beberapa penganalisis mempersoalkan keupayaan Geely untuk memanfaatkan ciri-ciri terbaik Volvo apabila ia membeli pengeluar kereta Sweden itu daripada Ford Motor Co hampir tujuh tahun lalu.

Begitupun, Geely berusaha dengan progresif untuk meningkatkan teknologinya bersama pengetahuan dimiliki Volvo.

Kereta yang direka bentuk dengan lebih baik menyusuli pembelian Volvo pada 2010, seperti model sedan GC9 dan kenderaan utiliti sukan (SUV), Boyue. Ia sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan kewangan Geely.

Jualannya di China meningkat 50 peratus tahun lalu kepada 766,000 unit kenderaan dan ia menjangkakan jualan akan meningkat melebihi sejuta unit tahun ini.

Dalam masa sama, ia berhasrat untuk menjual lebih banyak kenderaan di luar China.

Awal tahun ini, Geely membeli 49.9 peratus kepentingan pengeluar kereta Malaysia, PROTON Holdings Bhd daripada konglomerat DRB-HICOM Bhd.

Beberapa pegawai Geely memberitahu Reuters bahawa pengeluar kereta berpangkalan di Hangzhou itu merancang menambah baik kereta Proton dengan berkongsi teknologi Geely dan Volvo.

Penganalisis berkata, satu risiko terbesar bagi Volvo apabila ia mengadakan lebih banyak penggabungan dengan syarikat induknya adalah pelupusan imej jenama Volvo apabila ia berkongsi teknologi dan kepakarannya bersama firma China itu.

Ketua Eksekutif Volvo, Hakan Samuelsson, berkata kuncinya adalah untuk membezakan secukupnya jenama terbabit, walaupun kedua-dua pengeluar kereta itu berkongsi lebih banyak teknologi.

Bagi Volvo, antara aspek yang ditekankan adalah peralatan keselamatan yang lebih banyak dan selamat.

"Kemajuan yang dapat dicapai oleh Geely untuk menambah baik produk dan imej jenamanya sejak beberapa tahun lalu menjadikan saya berasa lebih yakin mereka dapat melaksanakan proses ini dengan lebih berjaya," kata Yale Zhang, ketua syarikat perunding berpangkalan di Shanghai, Automotive Foresight.

Bulan lalu, Geely dan Volvo berkata mereka merancang untuk bekerjasama melangkaui Lynk & Co dan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama bagi berkongsi teknologi, seperti seni bina kenderaan dan enjin melalui perjanjian rentas pelesenan.

Samuelsson bulan lalu memberitahu Reuters, urus niaga itu akan menyediakan sumber pembangunan lebih besar kepada Volvo, selain kecekapan dalam membeli alat ganti. - Reuters

Berita Harian X