Khamis, 27 Julai 2017 | 7:00am
GIUSTA (tiga dari kiri) bersama Mohamad Zamry (dua dari kiri) ketika majlis pelancaran MV Agusta Malaysia Life Style Center di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.
GIUSTA (tiga dari kiri) bersama Mohamad Zamry (dua dari kiri) ketika majlis pelancaran MV Agusta Malaysia Life Style Center di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Pusat MV Agusta dibuka

MOTO Varese Asiatic Holdings Sdn Bhd, pengedar tunggal motosikal MV Agusta di Malaysia, secara rasminya membuka MV Agusta Malaysia Life Style Center di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Hadir merasmikan pembukaannya ialah Pengarah Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Mohamad Dalib, Pengarah Pemasaran dan Jualan MV Agusta S.p.A Itali, Raffaele Giusta dan Pengerusi Moto Varese Asiatic Sdn Bhd, Hu Ying.

Jual enam model baharu

Pengarah Urusan Moto Varese Asiatic, Mohamad Zamry Abu Samah berkata, sebagai permulaan sebanyak enam model dan telah pun memasuki pasaran tempatan sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, semua model berkenaan dipasang di Malaysia (CKD) dan menjadi model terkini berbanding model yang dijual sebelum ini.

"Model yang dipasang secara CKD dan dijual di Malaysia ialah MV Agusta iaitu Brutale 800, Brutale 1090, Dragster 800RR, Tourismo Veloce 800, Tourismo Veloce 800 Lusso RC dan F4RR," katanya.

Dijangka enam lagi varian model akan tiba di Malaysia sebelum penghujung tahun ini.

Mohamad Zamry berkata, harga jualan bagi semua model berkenaan bermula dari RM90,000.

Setakat ini, pengedar di utara Semenanjung dilantik sebagai pengedar rasmi MV Agusta Malaysia dan dijangka dua atau tiga lagi akan dibuka sebelum hujung tahun ini.

Pasaran kompetitif

Moto Varese Asiatic adalah anak syarikat DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd yang menguasai 80 peratus kepentingan ke atas MV Agusta Malaysia.

Disember lalu, Moto Varese Asiatic dilantik sebagai pemasang dan pengedar tunggal motosikal MV Agusta di negara ini.

Mohamad Zamry berkata, pasaran motosikal besar di negara ini cukup kompetitif dengan pelbagai jenama luar menguasai sebilangan kecil peratusan pasaran tempatan.

Malah, katanya, jenama MV Agusta sebenarnya cukup sinonim dengan Malaysia sebelum ini.

"Model baharu berikutnya akan dibawa masuk secara berperingkat, mungkin sebelum hujung tahun ini semua 12 varian model akan berada di bilik pameran ini," katanya.

Info:
Moto Varese Asiatic Sdn Bhd

  • Anak syarikat DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd
  • Dilantik sebagai pemasang dan pengedar tunggal motosikal MV Agusta
  • Beroperasi di kawasan Pusat Perindustrian Amari di Batu Caves
  • Antara model yang dijual di Malaysia ialah MV Agusta iaitu Brutale 800, Brutale 1090, Dragster 800RR, Tourismo Veloce 800, Tourismo Veloce 800 Lusso RC dan F4RR
Berita Harian X