Sabtu, 15 Julai 2017 | 2:51pm
DILENGKAPI enjin diesel commonrail 2.5 liter 4JK1-TCX empat silinder.- Foto Rosela Ismail
DILENGKAPI enjin diesel commonrail 2.5 liter 4JK1-TCX empat silinder.- Foto Rosela Ismail

Penjimatan bahan api menakjubkan

ISUZU mu-X
ISUZU mu-X

Apabila ingin menempuh perjalanan jauh pulang ke kampung halaman sempena cuti perayaan, faktor bahan api menjadi antara aspek penting yang dititikberatkan oleh pemilik kenderaan memandangkan pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi sepanjang laluan termasuk kesesakan trafik.

Pada cuti Aidilfitri kali ini, penulis berkesempatan untuk memandu uji Isuzu mu-X Type-S selama lebih seminggu untuk pulang ke Pasir Mas, Kelantan dan Kuantan, Pahang sebelum kembali ke Putrajaya, yang mana jarak perjalanan untuk dua destinasi berkenaan melebihi 1,200 kilometer.

Seperti biasa, faktor penjimatan bahan api menjadi antara aspek utama kepada penulis memandangkan jarak perjalanan yang agak jauh di samping keselesaan pemandu dan penumpang.

Penjimatan bahan api

Kelebihan ditawarkan oleh Isuzu mu-X sama ada dari segi ruang, prestasi mahupun penjimatan bahan api ternyata menjadikan pemanduan kenderaan utiliti sukan (SUV) berenjin diesel ini sebagai satu pengalaman yang selesa serta menyeronokkan.

SUV ini mewarisi kehebatan genetik generasi kedua trak pikap, Isuzu D-Max yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Ia menampilkan bentuk seimbang dan kemas dengan garis rekaannya dilihat bergerak lancar dari bahagian depan ke belakang dalam bentuk baji.

Karakter rekaan diserlahkan menerusi penggunaan dapra maskular bagi menawarkan aliran udara yang dinamik pada bahagian atas roda, selain membantu menghalang percikan air.

Biarpun mewarisi genetik Isuzu D-Max, rekaan depannya sangat berbeza dan menonjol dengan padanan perumah lampu utama projektor serta lampu nyalaan siang LED hadir sebagai ciri standard bagi varian 4x4.

Lebih tegap

Pintunya turut menampilkan garis Katana Isuzu D-MAX, namun SUV ini menerima karakter yang lebih ketara. Di bahagian belakang pula, bukaan pintu yang tinggi dan luas memberi kemasukan maksimum ke ruang kargonya.

Pintu belakang boleh dibuka dengan menekan butang elektronik yang tersembunyi serta dilengkapi spoiler kecil pada bahagian atas cermin untuk mengurangkan kotoran.

Ia tampak lebih tegap dengan padanan rim aloi bersaiz 17 inci pada varian 4x4 yang turut memiliki keupayaan untuk mengharung apa jua permukaan jalan dengan yakin.

Bagi Type-S yang dipandu uji penulis, ia menampil sedikit kelainan termasuk 'skirting' yang memberi gaya lebih sporty kepada mu-X ini.

Sebaik menjengah masuk ke dalam kabinnya, jentera ini mempunyai ruang luas untuk tujuh penumpang dengan didatangkan kemasan kulit berkualiti tinggi bagi memberi sentuhan mewah kepada ruang dalamannya.

Tempat duduk pemandu didatangkan dengan talaan elektrik dan kebanyakan butang mudah dicapai ketika memandu. Ia juga sesuai dengan cuaca panas di negara ini apabila barisan kedua dan ketiga dilengkapi corong penyaman udara pada bahagian bumbung.

Sistem audio yang boleh disambung Bluetooth, ciri mu-X beri pengalaman selesa dan menyeronokkan mirror link untuk telefon pintar dan kamera undur mencukupi untuk memberi keselesaan kepada penulis ketika memandu uji mu-X ke destinasi yang ingin dituju.

Malah, bumbung barisan kedua dipadankan dengan monitor DVD yang boleh dilipat untuk memainkan filem digemari menerusi 'pemacu pena' supaya pemanduan tidaklah membosankan atau lebih tepat untuk membuatkan anak-anak duduk diam sepanjang perjalanan.

Terhad penumpang

Bagaimanapun, ia hanya terhad kepada penumpang belakang kerana apabila brek tangan dilepaskan skrin bahagian depan akan menjadi 'kelabu' dan paparan filem tidak lagi kelihatan (untuk tujuan keselamatan).

Bagi menukar pacuan rodanya, butang di bahagian tengah perumah gearnya ditukar pacuan dua roda (2H) kepada empat roda (4H) pada kelajuan mencecah 100 kilometer sejam (km/j), tetapi perlu memberhentikan kenderaan jika mahu menukar mod 4L.

Kelebihan enjin diesel commonrail 2.5 liter 4JK1-TCX empat silinder yang ditawarkan dengan menampilkan sistem turbo geometri boleh ubah (VGS) membuatkan sesiapa saja yang memandu pasti teruja.

Enjin yang menghasilkan kuasa maksimum sehingga 100 kW dan kilasan 320 Nm serendah 1,800 rpm ini turut diuji dalam pemanduan lebih 1,800 kilometer dari Bangkok, Thailand ke Singapura dengan kurang setangki bahan api, sebelum ini.

Ia ternyata benar apabila pemanduan lebih 800 kilometer dengan laluan agak sesak (termasuk perjalanan 15 jam dari Putrajaya ke Kelantan) menggunakan setangki penuh menerusi pemanduan santai bersama keluarga pada kelajuan antara 120-140 km/j.

Bagi penggemar enjin diesel, pastinya mengetahui bahawa kebanyakan jentera ini memberi penjimatan bahan api maksimum tetapi kuasanya agak berkurangan tidak sama seperti enjin petrol terutama dari segi tork.

Roda belakang pula menggunakan khidmat suspensi jenis five-link active untuk meningkatkankeselesaan dan pada masa sama, memberi keyakinan di selekoh.

Selain dilengkapi ciri keselamatan pasif dan aktif yang terkini, kerangka kenderaan ini diperkukuhkan dengan keluli regangan tinggi.

Tiang B dan bahagian tengah transmisi Tailor Blank dipateri lebih kukuh, selain pintunya dipasang dengan bar keluli binaan dalam sebagai perlindungan tambahan jika berlaku perlanggaran dari arah sisi.

INFO:

  • Isuzu mu-X: Harga atas jalan termasuk insurans RM181,840.80
  • Enjin 2.5 Liter VGS Turbo
  • Kuasa maksimum 136 PS@ 3,400rpm
  • Tork maksimum 320 Nm@ 1,800 - 2,800rpm
  • Transmisi lima kelajuan automatik
  • Ciri keselamatan -Dua beg udara, ABS, ESC, EBD, BA dan TCS
  • Berita Harian X