Rabu, 14 Jun 2017 | 7:00am

3 lagi model MV Agusta masuk pasaran

Turismo Veloce 800 Lusso RC.
Turismo Veloce 800 Lusso RC.

MOTO Varese Asiatic Sdn Bhd, pengedar rasmi baharu jenama MV Agusta di negara ini, mengorak langkah agresif untuk memantapkan kehadirannya dalam pasaran motosikal premium tempatan dengan pengenalan tiga lagi model dan varian jenama ikonik Itali itu seawal bulan depan.

Model berkenaan iaitu F3 675 (sport); Brutale Dragster RR (naked) dan Turismo Veloce RC (pengembaraan), akan ditawarkan pada harga lebih menarik dan kompetitif bagi menyaingi model keluaran pesaingnya seperti BMW Motorrad, Ducati dan Triumph.

Pengenalan tiga lagi model pemasangan tempatan (CKD) itu pastinya akan merancakkan lagi pasaran dan menyediakan lebih pilihan kepada pengguna di negara ini.

Pengarah Urusan Moto Varese Asiatic, Muhamad Zamry Abu Samah, berkata F3 675 dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM80,000; Brutale Dragster RR dianggarkan pada harga RMRM116,ooo dan Turismo Veloce Lusso RC pada harga sekitar RM88,000.

"Ia sebagai tambahan kepada tiga model CKD sedia ada iaitu Brutale 800 yang ditawarkan pada harga asas RM81,998; Brutale 1090 (RM87,998) dan Turismo Veloce 800 (RM88,998)," katanya kepada BH Auto dalam satu temu bual ibu pejabatnya di Batu Caves, baru-baru ini.

Tingkat khidmat selepas jualan Di Malaysia, barisan model MV Agusta sebelum ini diedarkan oleh Mofaz Motosikal Sdn Bhd menerusi Chear Motor Sdn Bhd, namun begitu pada November tahun lalu, hak pengedaran MV Agusta diberi kepada Moto Varese Asiatic Sdn Bhd, anak syarikat DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd, yang juga syarikat induk Demak Motor.

Brutale Dragster 800 RR.
Brutale Dragster 800 RR.

Peralihan hak pengedaran itu membuka lembaran baharu bagi motosikal jenama Itali itu yang mana menyaksikan cadangan pengeluaran lebih banyak model CKD, selain daripada tekad pengedarnya untuk mengembangkan lagi cawangan jualan serta memantapkan perkhidmatan selepas jualan.

"Jika Ducati dianggap seumpama jenama kereta mewah 'Ferrari' dalam segmen motosikal, MV Agusta pula adalah seumpama Lamborghini. Ia susulan faktor eksklusif iaitu terhad dari segi jumlah pengeluaran dan pemilikannya.

"Jumlah pengeluaran MV Agusta untuk dipasarkan ke seluruh dunia pada tahun ini dihadkan kepada 5,200 unit sahaja, lebih rendah berbanding tahun lalu iaitu lebih kurang 8,000 unit. Ia menjadikannya lebih eksklusif dan premium.

Orang guna MV ini bukan disebabkan harga, mereka mahukan sesuatu yang jarang-jarang ditemui dan lain dari yang lain," kata Muhamad Zamry.

Meskipun MV Agusta sudah berada di pasaran dunia sejak 1945, namun pengguna di negara ini masih kurang pendedahan terhadap jenama berkenaan.

Alat ganti lebih murah Susulan itu Muhamad Zamry berkata, pihaknya akan mengembangkan lagi capaian pelanggan dengan menambah pengedar sah, selaku pusat 4s (jualan, servis, alat ganti dan baik pulih), di setiap wilayah di Semenanjung Malaysia, sebelum dikembangkan lagi ke Sabah dan Sarawak.

"Strategi untuk menjadi lebih kukuh dalam pasaran adalah kami kena pastikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih mantap.

Setiap wilayah perlu ada sekurang-kurangnya satu pusat servis. Kami sudah ada di Kuala Lumpur/Selangor dan utara. Kami sedang mencari calon untuk dilantik sebagai pengedar sah di wilayah selatan dan Pantai Timur," katanya.

Turut diberi penekanan, kata Muhamad Zamry, adalah mengenai keluhan pelanggan sebelum ini mengenai harga alat ganti MV Agusta yang dianggap terlalu mahal.

F3 675.
F3 675.

"Harga alat ganti yang diimport dari Itali sebelum ini agak mahal susulan tukaran asing yang lemah. Kita cuba untuk menyaran satu harga yang berpatutan dan munasabah.

"Contohnya penapis minyak, selama ini tanggapan pengguna adalah harganya pasti beratus-ratus ringgit. Kami sudah buat kajian dan semakan kos, penapis minyak bagi enjin tiga silinder (V3) hanyalah RM57 berbanding sebelum ini RM90 bagi enjin empat silinder (V4) pula RM75 berbanding RM140 sebelumnya," jelas beliau.

Muhamad Zamry berkata, pihaknya yakin dengan memantapkan lagi perkhidmatan selepas jualan, meluaskan akses pasaran serta program promosi yang lebih agresif, ia akan meningkatkan lagi keyakinan pengguna terhadap jenama berkenaan.

Berita Harian X