Selasa, 23 Mei 2017 | 4:56pm

KYMCO 250i bukan sekadar skuter sasa

TAWAR daya pecutan lebih hebat walaupun bersaiz besar. - Foto Halim Salleh
TAWAR daya pecutan lebih hebat walaupun bersaiz besar. - Foto Halim Salleh

SEBELUM menunggang uji KYMCO DownTown 250i, apa yang bermain di fikiran penulis ialah, ia sama dengan yang ditawarkan MODENAS Elegan 250.

Ternyata tekaan penulis tidak tepat kerana kuasa yang ditawarkan DownTown 250i sedikit lebih berbanding Elegan meskipun menawarkan kapasiti enjin yang sama.

Dengan saiz badan 'lebih kurang' dengan Elegan 250, KYMCO DownTown 250i yang dijual pada harga RM22,790 seunit tampil dengan sistem brek cegah kunci (ABS).

Dari segi penampilan, DownTown 250i tampak lebih besar, saiznya hampir menyamai skuter Maxi iaitu yang berkapasiti lebih 500cc.

Lebih terperinci adalah ia 2,235 milimeter (mm) panjang; 810 mm lebar; 1,375 mm tinggi; 1,540 mm jarak roda dan 135 mm jarak ke tanah (tanpa beban).

Menarik perhatian pada skuter ini adalah sistem kawalan brek empat peringkat, papan pemuka atau paparan meter LCD dan lampu belakang LED yang terang.

RUANG simpanan yang besar dan pelbagai. - Foto Halim Salleh
RUANG simpanan yang besar dan pelbagai. - Foto Halim Salleh

KYMCO Downtown 250i. - Foto Halim Salleh
KYMCO Downtown 250i. - Foto Halim Salleh

Dari segi tunggangan saiz dan tempat duduk DownTown 250i yang besar memberi keselesaan kepada penunggang dan pembonceng.

Ia menawarkan ruang barangan yang sangat luas di bahagian bawah tempat duduk sehinggakan dua topi keledar boleh dimuatkan pada satu masa.

Dari segi prestasi enjin, skuter ini menggunakan enjin 4-lejang silinder tunggal berkapasiti 246 cc dengan 4 injap, EFI, CDI dan SOHC serta sejukan cecair yang menjana kuasa 22.93 kuasa kuda (hp) dan tork 23.1 Nm.

Ia bergerak harmoni dengan sistem transmisi CVT dengan nisbah mampatan 10.8:1. Kapasiti tangki minyaknya pula ialah 12.5 liter.

Penulis sebelum ini pernah menunggang uji Modenas Elegan 250, ternyata prestasi DownTown 250i berbeza dan daya tujahannya lebih memuaskan meskipun saiz badannya agak besar.

DownTown 250i digunakan untuk tunggangan harian dari kediaman penulis di Putrajaya ke Bangsar membabitkan perjalanan sejauh 60 kilometer (km) pergi-balik selama lebih seminggu.

LAMPU belakang LED KYMCO Downtown 250i. - Foto Halim Salleh
LAMPU belakang LED KYMCO Downtown 250i. - Foto Halim Salleh

Walaupun perjalanan tidaklah jauh, ia sudah cukup kepada penulis untuk merasai pengalaman unik menunggang uji skuter besar yang ternyata memberi kepuasan.

Tidak hanya prestasi memuaskan, saiz tempat simpanan barang di bawah tempat duduk juga amat besar kerana tidak hanya mampu memuatkan satu topi keledar, malah barangan peribadi lain.

Selain itu, ada dua kotak simpanan barang di bawah hendal dengan satu daripadanya lengkap dengan pengecas USB.

Ia sangat sesuai untuk perjalanan jauh, apatah lagi apabila pada masa cuaca tidak menentu. Pendek kata, penulis tidak pernah basah dek terkena hujan kerana baju hujan dan sepatu tersedia di bawah tempat duduk.

Secara peribadi, penulis amat menggemari motosikal automatik yang bersaiz besar kerana perasaan khuatir tidak pernah timbul untuk meneruskan perjalanan ke tempat kerja seharian.

LAMPU depan KYMCO Downtown 250i. - Foto Halim Salleh
LAMPU depan KYMCO Downtown 250i. - Foto Halim Salleh

Sudah pasti perkara ini juga difikirkan pengguna skuter sehinggakan motosikal automatik semakin menjadi pilihan kepada mereka yang tinggal jauh dari tempat bekerja.

Dengan kelajuan maksimum sekitar 140 kilometer sejam (km/j) ia sudah cukup untuk penulis, selain ia juga sesuai dan selesa untuk perjalanan jauh.

Kesimpulannya, pada harga RM13,599 termasuk GST , Elegan 250 menyediakan pakej yang sangat menarik dan berbaloi jika dibandingkan dalam produk sama dalam kelasnya.

Info:
KYMCO DownTown 250i

  • Harga jualan termasuk GST RM22,790
  • Enjin 4-lejang, silinder tunggal, penyejuk cecair, 4-injap, SOHC
  • Kapasiti 246cc
  • Kuasa 17.1 Kw @ 7750 rpm
  • Sistem bahan api : EFI
  • Transmisi CVT
  • Bateri 12V 10AH
  • Berat kering 191 kg
  • Kapasiti bahan api 12.5 Liter
Berita Harian X