Selasa, 18 April 2017 | 7:00am

Z650, Ninja 650 ABS ada kelainan

KAWASAKI Z650 ABS dan Ninja 650 ABS tampil dengan rekaan lebih segar dan ranggi. - Foto Hazreen Mohamad
KAWASAKI Z650 ABS dan Ninja 650 ABS tampil dengan rekaan lebih segar dan ranggi. - Foto Hazreen Mohamad

BARU-BARU ini, Kawasaki Motors Malaysia menganjurkan sesi tunggang uji untuk dua modelnya, iaitu Z650 ABS dan Ninja 650 ABS, meliputi perjalanan dua hala kira-kira 148 kilometer bermula dari Nilai Springs Resort, Negeri Sembilan ke Morib, Selangor.

Seramai 22 wakil media yang dipecahkan kepada dua sesi menyertai sesi tunggang uji berkenaan bagi merasai sendiri tunggangan dua model baharu yang dilancarkan Februari lalu.

Ia bagi memberikan pengalaman awal terhadap dua motosikal baharu ini dan mendapatkan maklum balas daripada wakil media yang menjadi kumpulan terawal menunggang uji jentera baharu ini.

Tanggapan awal yang dapat dikongsikan mengenai dua model baharu ini adalah rekaan lebih segar dan mengikuti konsep model lebih besar yang ada dalam barisan produk Kawasaki.

Sebagai contoh, Ninja 650 ABS mendapat rekaan seperti yang digunakan pada model Ninja terkini, termasuk ZX-10R termasuk pilihan warna hijau sama untuk model SE.

KAWASAKI Z650. - Foto Hazreen Mohamad
KAWASAKI Z650. - Foto Hazreen Mohamad

Model Z650 ABS juga boleh dilihat rekaan yang diterapkan pada model seperti Z1000 dan Z900.

Cuma membezakan Z650 ABS dan Ninja 650 ABS adalah lampu LED pada bahagian belakang, yang mana Ninja 650 ABS menampilkan nyalaan berbentuk X, sementara Z650 ABS pula dengan nyalaan berbentuk Z.

Bagi Z650 ABS yang menjadi model pengganti kepada ER-6, ia lebih kecil dengan ukuran panjang 2,115 mm, kelegaan dari jalan (130 mm) dan tinggi tempat duduk (790 mm).

Kedua-dua model ini juga lebih ringan untuk memberikan fungsi pengendalian lebih mudah dan tidak mustahil pengendalian seperti model 250cc tetapi dengan kuasa 650cc.

Berbalik kepada sesi tunggang uji selama tiga jam, jalan yang kami lalui sepanjang hari adalah dipilih oleh Kawasaki untuk menguji bagaimana suspensi jenis teleskopik tidak boleh laras di hadapan dan monoshock tengah di belakang motosikal ini berfungsi

Pengendalian juga pada hemah penulis meyakinkan ketika mengambil selekoh hasil penggunaan tayar Dunlop SportMax yang menawarkan cengkaman lebih baik.

Apa yang menarik mengenai dua model ini adalah enjin dua silinder selari, penyejuk cecair 649 cc dengan sistem DOHC. Ia mempunyai enjin dan kuasa yang sama, iaitu 68 PS pada 8,000 rpm dan 65.7 Nm pada 6,500 rpm, digabungkan bersama transmisi enam kelajuan. Cuma rupanya sedikit berbeza.

KAWASAKI Ninja 650. - Foto Hazreen Mohamad
KAWASAKI Ninja 650. - Foto Hazreen Mohamad

Ninja 650 ABS dan Z650 ABS mempunyai panel meter berlainan bentuk, tetapi kedua-duanya masih lagi mempunyai penunjuk analog untuk tahap rpm manakala maklumat selebihnya dipaparkan secara digital.

Apa yang penting sekali mengenai kedua-model ini adalah brek ABS daripada Bosch yang digabungkan dengan unit berkembar cakera 300 mm dan angkup dua piston di hadapan serta cakera tunggal 220 mm. Ini membolehkan angkup satu piston di belakang menghasilkan kuasa membrek yang mencukupi.

Secara keseluruhannya, BH Auto berpendapat Z650 ABS dan Ninja 650 ABS sesuai untuk mereka yang mahu menaik taraf daripada motosikal 250cc.

Info:
Kawasaki Z650 ABS

* Harga jualan termasuk GST RM35,609

* Sesaran 649 cm3

* Kuasa 68 PS @ 8,000 rpm

* Tork 65.7Nm @ 6,500rpm

* Enjin berkembar selari

* Reka bentuk Sugomi

* Lampu Belakang LED Z

* Suspensi belakang Bank-Link mendatar

* Suspensi Fork teleskopik hadapan

* Swingarm

* Penghadang Radiator

* Sistem brek anti kunci (ABS)

Kawasaki Ninja 650 ABS

* Harga jualan termasuk GST RM37,189 (Standard), RM38,189 (SE)

* Windshield boleh laras

* Lampu belakang LED X

* Sistem brek anti kunci (ABS)

* Sistem injap DOHC, 8 injap

* Kerangka Trellis, keluli tegangan-tinggi

* Klac cekera berbilang basah, manual

Berita Harian X